BERMULA sebagai trend minuman yang mencuri perhatian, kini strawberi matcha melangkah lebih jauh merentasi dunia fesyen.
Gabungan hijau lembut dan merah jambu itu diramal menjadi pilihan warna utama busana Aidilfitri 2026 terutama bagi wanita.
Pereka fesyen dan pengasas bersama jenama Thalia, Muhd. Firdaus Ahmad Kamal berkata, pemilihan warna raya tahun ini banyak dipengaruhi oleh perubahan gaya hidup moden.
Di platform seperti TikTok dan Lemon8 Malaysia, gabungan rona ini sering dikaitkan dengan strawberry matcha girl aesthetic, selari dengan trend clean girl atau soft girl.
Katanya, matcha membawa elemen kesihatan dan kesejahteraan, manakala strawberi memberi sentuhan feminin dan manis.
“Warna ini bukan sekadar untuk cantik, tetapi memudahkan, menyatukan dan mencerminkan cara seseorang menikmati Syawal.
“Walaupun tampak lembut dan feminin, strawberi matcha tetap sesuai digayakan oleh pelbagai tona kulit, asalkan rona yang dipilih tepat.
“Contohnya, merah jambu lembut atau hijau matcha semula jadi lebih menawan berbanding rona yang terlalu cerah,” katanya kepada Seri.
Kata Muhd. Firdaus, penampilan si pemakai makin berseri dengan pemilihan fabrik, tekstur dan aksesori sepadan.
Katanya, dunia fesyen Aidilfitri kini bukan lagi tentang warna semata-mata, tetapi bagaimana warna itu diterjemahkan melalui potongan, material dan penggayaan.
Biru teal pilihan sodondon keluarga
Selain strawberi matcha, satu lagi warna yang disebut-sebut bakal memeriahkan Syawal tahun ini ialah biru teal atau biru kehijauan.
Warna ini menjadi pilihan kerana sifatnya yang praktikal dan mudah digayakan, terutama untuk busana sodondon keluarga.
Ia sekali gus memudahkan persiapan raya dan menyokong suasana kebersamaan apabila semua orang boleh tampil serasi tanpa kelihatan dibuat-buat.
Menariknya, warna ini juga sesuai untuk semua tona kulit sama ada cerah, sederhana mahupun sawo matang.

“Biru teal merupakan warna yang universal kerana tidak terlalu ‘keras’ atau mematikan tona kulit.
“Tidak hairanlah, ia sering menjadi pilihan untuk sedondon keluarga, kerana senang disesuaikan untuk pelbagai individu dalam satu tema sama,” katanya.
Ia jelas dilihat dalam pratonton koleksi raya 2026 di hab fesyen utama seperti KWC Fashion Wholesale (KWC) yang menampilkan teal sebagai warna utama.
Dalam industri fesyen pula, ia sering dianggap sebagai neutral mewah kerana sesuai untuk pelbagai gaya baju Melayu dan kekal relevan selepas musim raya.
Kebaya kekal diminati
Raya 2026 menjadi tahun kedua kebangkitan semula kebaya termasuk kebaya Kota Bharu pendek dengan panel tengah atau lidah baju dan pelbagai variasi moden yang lebih kemas serta berstruktur.
Muhd. Firdaus berkata, banyak jenama tempatan yang memilih kebaya kerana ia memberikan bentuk dan identiti jelas.
Malah, ia mudah disesuaikan dengan gaya tradisional atau moden dan dalam masa sama memberikan penampilan yang lebih siap walaupun rekaannya ringkas.
Itu sebabnya kebaya terus muncul dalam koleksi raya oleh pelbagai jenama tempatan, termasuk Rico Rinaldi, Carlanisa dan Thalia.

Selain itu, kebaya juga dipilih kerana sifatnya yang lebih forgiving terhadap persepsi badan.
“Potongan berstruktur membantu memberi ilusi siluet lebih kemas dan seimbang, sesuatu yang sangat penting bagi ramai pengguna ketika raya, terutama apabila penampilan dirakam dan dimuat naik ke media sosial,” katanya,
Namun, ujarnya, baju kurung moden kekal sebagai pilihan malar segar kerana siluetnya yang difahami dan dipercayai oleh majoriti pengguna.
Manakala rekaan berlapis, flowy dan draped pula terus mempunyai pasaran tersendiri untuk mereka yang mahukan gaya lebih lembut.
“Namun secara jujur, apa yang kita lihat untuk raya 2026 bukanlah satu perubahan besar dari segi rekaan, tetapi satu kitaran fesyen.
“Jenama cenderung memilih siluet yang dikenali dan difahami oleh pengguna kerana ia lebih selamat dari sudut komersial dan mengurangkan risiko berkaitan saiz, ukuran, pemulangan atau aduan.
“Dalam konteks raya akan datang, ini adalah keseimbangan antara kreativiti dan realiti pasaran,” katanya.
Corak bunga halus vintaj
Motif bunga halus, cetakan lembut dan corak yang tidak terlalu digital dijangka popular pada raya tahun ini.
Pendekatan itu menjadikan rekaan lebih tahan lama dan tidak cepat kelihatan lapuk.
Ia jelas dilihat dalam koleksi jenama Hani Mokhta dan Deenara.
Justeru, elakkan membeli busana dengan cetakan besar atau terlalu kontras.
Kata Muhd. Firdaus, fabrik polos turut mendapat tempat untuk raya 2026 dengan sulaman menjadi perincian utama bagi busana.

Ia menyuntik rasa premium dan eksklusif tanpa perlu menjadikan rekaan terlalu sarat.
“Dalam masa sama, kita juga melihat kemunculan sulaman manik yang lebih berani, sarat dan crystal tassels, terutama dalam koleksi jenama Qiszar.
“Arah ini banyak dipengaruhi oleh estetika busana custom dan bespoke yang kini diterjemahkan ke dalam rekaan siap pakai untuk memberi kesan visual lebih dramatik.
“Namun, pendekatan ini masih bersifat selektif dengan sulaman manik sarat digunakansebagai elemen statement, bukan keperluan untuk semua rekaan.
“Secara keseluruhan, kemasan raya 2026 bergerak dalam dua pendekatan, sama ada perincian halus yang terkawal atau pernyataan visual lebih berani, bergantung kepada identiti jenama dan
sasaran pengguna,” katanya.
Dari segi material pula, kebanyakan memilih fabrik ringan, selesa dan mudah diurus seperti crepe, sifon berkualiti,satin matte dan cotton blend atau viscose.
Trend selendang
Aksesori seperti selendang kekal relevan untuk lebaran 2026, namun peranannya kini lebih sebagai pelengkap gaya dan bukan tumpuan utama.
Perubahan ini selari dengan arah fesyen raya yang semakin menekankan kesederhanaan, keboleh pakaian dan gaya matang.
Dari segi material, fabrik ringan seperti sifon menjadi pilihan kerana keselesaan dan flowyness yang cantik tanpa menambah beban pada rekaan.
Untuk warna pula, pendekatan yang lebih senada lebih digemari, sama ada warna lembut, neutral atau sedikit kontras yang masih harmoni dengan busana utama.










