BERBULU eksotik dengan corak seakan harimau kecil, kucing Bengal sememangnya dikenali sebagai antara baka yang paling memukau di dunia.
Keindahan fizikalnya yang tersendiri, digabungkan dengan personaliti tenang dan bijak, menjadikan baka ini pilihan utama dalam pertandingan kucing bertaraf antarabangsa.
Keunikan itulah yang terpancar jelas pada seekor kucing Bengal bernama Paduka berumur tiga tahun, si juara kesayangan milik Julie Nasir.
Menurutnya, Paduka bukanlah sekadar kucing peliharaan biasa.
Sejak kecil, Paduka sudah aktif menyertai pelbagai pertandingan kucing, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
“Paduka dianggap sebagai anak emas berbanding kucing-kucing lain yang dipelihara.
“Malah, kasih sayang yang diberikan bukan kerana status juara semata-mata, tetapi kerana sifatnya yang mudah dijaga, tidak ‘buat perangai’ dan sentiasa tenang dalam apa jua keadaan,” ujar Julie.
Katanya, keunikan yang ada Paduka terserlah pada penampilan semula jadinya. Justeru itu, dia untuk tidak menyarungkan pakaian pada kucing kesayangannya itu kerana ingin menonjolkan corak bulu unik.
Penjagaan rapi
Dari segi penjagaan, Julie sangat menitikberatkan rutin kebersihan. Paduka dimandikan secara berkala manakala sebelum pertandingan iaitu dua hari lebih awal.
“Kaedah tersebut dilakukan bagi memastikan bulunya terletak cantik, kemas dan tidak mengembang berlebihan.
“Menariknya, Paduka langsung tidak menunjukkan sebarang ragam ketika dimandikan, seolah-olah sudah terbiasa dengan rutin tersebut sejak kecil,” katanya.

Pemakanan Paduka pula dijaga rapi demi kesihatan perutnya dengan Julie lebih mengutamakan makanan kering yang sesuai dengan sistem penghadaman si comel itu.
Namun, bagi mengelakkan Paduka jemu, ayam rebus akan diberikan sekali-sekala sebagai variasi menu dan ganjaran istimewa.
Walaupun aktif menyertai pameran dan pertandingan, Paduka sebenarnya merupakan kucing rumah sepenuhnya.
Julie tidak membenarkan Paduka berkeliaran di luar rumah atau taman hanya untuk bermain, demi keselamatan dan keselesaan kucing kesayangannya itu.
Setiap kali dibawa ke pameran atau pertandingan, Paduka akan diletakkan di dalam kereta sorong khas bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan selesa.
Kebal di dalam kapal terbang dan musim sejuk
Antara kenangan paling manis bagi Julie ialah ketika membawa Paduka menyertai pertandingan antarabangsa di Norway pada bulan November 2024 dengan ketika itu sudah menghampiri musim sejuk.
Perjalanan dari Malaysia ke negara berkenaan mengambil masa lebih 20 jam, satu tempoh yang panjang dan mencabar.
Namun, sepanjang perjalanan, Paduka menunjukkan tingkah laku yang sangat baik.
Lebih mengagumkan, walaupun menempuh perjalanan jauh, Paduka langsung tidak membuang air kecil atau besar.
Katanya, setibanya di penginapan, Paduka sekali lagi memperlihatkan sifat tenangnya dan hanya membuang air kecil beberapa jam kemudian.
Walaupun, tidak mahu disarungkan baju panas yang disediakan untuk melindungi suhu badannya, si comel itu tetap berkelakuan tenang dan selesa dengan persekitaran baharu.










