Thailand punca petinju negara tumbang

Thailand punca petinju negara tumbang

Petinju Thailand, Bunjong Sinsiri (kiri) mengasak wakil Malaysia, Mohd. Farid Muhammad Ariff Aiman dalam aksi suku akhir kategori 69 kilogram Sukan SEA 2025 Thailand di Bangkok, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Faktor undian yang mempertemukan majoriti petinju negara dengan wakil tuan rumah Thailand antara punca utama kegagalan kem tinju negara sekadar membawa pulang dua pingat gangsa pada Sukan SEA 2025 baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengurus pasukan, Paunandes Paulus berkata, daripada enam petinju yang diturunkan, sebahagian besar terpaksa berdepan cabaran sukar apabila diundi menentang petinju Thailand yang jelas memiliki kelebihan dari segi sokongan penonton serta faktor pengadilan.

“Secara keseluruhan, prestasi petinju negara sangat baik. Mereka menunjukkan komitmen tinggi dan semangat juang yang membanggakan.

“Namun kita tidak dapat menafikan kelebihan yang dimiliki tuan rumah, terutamanya apabila bertarung di gelanggang sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau bagaimanapun memuji dua petinju negara yang berjaya menyumbangkan pingat gangsa, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha berterusan barisan atlet dan jurulatih meskipun laluan perlawanan amat mencabar.

Paunandes turut menyentuh perlawanan membabitkan Abdul Qayyum, satu-satunya petinju negara yang diundi menentang wakil Indonesia, yang menurutnya jelas menguasai perlawanan dari segi teknikal dan ketepatan tumbukan.

“Dari segi persembahan di atas gelanggang, Abdul Qayyum menunjukkan kelebihan yang nyata.

“Namun keputusan tidak memihak kepada kita. Walaupun kecewa, pasukan menerima keputusan tersebut secara profesional,” katanya.

Mengulas secara keseluruhan, Paunandes menegaskan prestasi kem tinju negara berada pada tahap sangat memuaskan, dengan peningkatan ketara dari aspek teknik, taktikal serta ketahanan fizikal dan mental ketika beraksi di pentas antarabangsa.

“Pengalaman di Sukan SEA ini amat bernilai dan akan menjadi asas penting dalam merangka persiapan yang lebih rapi untuk kejohanan-kejohanan besar akan datang,” katanya.

Untuk rekod, skuad tinju negara membawa pulang dua pingat gangsa menerusi Mohd Rizal Wahidi untuk kategori 54 kilogram(kg) dan Muhammad Rasdenal Haikal Fazlie bagi kategori 57kg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN