Penduduk Israel langgar rakyat Palestin guna ATV ketika solat di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Penduduk Israel langgar rakyat Palestin guna ATV ketika solat di Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Satu rakaman video yang tersebar dalam media Palestin menunjukkan seorang penduduk Israel melanggar seorang lelaki Palestin yang menunaikan solat di tepi jalan menggunakan kenderaan ATV, dalam kejadian berhampiran kampung Deir Jarir, di utara Ramallah, Tebing Barat.

Insiden itu disahkan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) yang memaklumkan individu Israel terbabit merupakan anggota simpanan tentera.

IDF berkata senjata milik lelaki itu sudah dirampas dan perkhidmatannya digantung sementara siasatan dijalankan.

Rakaman tanpa bunyi tersebut menunjukkan mangsa terjatuh dan terbaring di atas jalan sebelum penduduk haram itu turun dari kenderaan, menjerit dan mengarahkannya supaya meninggalkan kawasan berkenaan.

Suspek kemudian memarahi pemandu teksi Palestin sebelum beredar.

Menurut IDF, siasatan awal turut mendapati anggota simpanan yang sama melepaskan tembakan lebih awal di dalam kampung berkenaan ketika memakai pakaian awam, yang disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap bidang kuasanya.

Dalam kejadian berasingan pada hari sama, seorang pemuda Palestin cedera selepas sekumpulan peneroka membaling batu dan melepaskan tembakan di Deir Jarir. Beberapa rakaman menunjukkan sekurang-kurangnya lima peneroka terlibat dalam serangan tersebut.

IDF memaklumkan semua kejadian disiasat dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan, sambil menegaskan pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menuntut anggotanya mematuhi kod etika tentera.

Sementara itu, polis Israel mengesahkan penahanan lima peneroka Israel berhubung serangan ke atas sebuah rumah Palestin di Sa’ir, utara Hebron, yang mengakibatkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera, dalam peningkatan keganasan peneroka di Tebing Barat sejak konflik Gaza tercetus pada Oktober 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×