Israel lanjutkan larangan siaran media Al Jazeera

Israel lanjutkan larangan siaran media Al Jazeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Parlimen Israel mengumumkan lanjutan undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa melarang mana-mana media asing yang dianggap membahayakan keselamatan daripada membuat siaran di Israel.

Undang-undang itu diperkenalkan pada April 2024 semasa kemuncak perang Israel-Hamas, terutamanya menyasarkan penyiar Qatar, Al Jazeera yang didakwa oleh pihak berkuasa Israel berperanan sebagai saluran propaganda untuk pejuang Palestin.

Pada asalnya, undang-undang itu terhad kepada keadaan kecemasan yang diisytiharkan pada awal perang susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Walaupun Knesset mengundi pada 1 Disember untuk menamatkan keadaan kecemasan, pindaan kepada undang-undang media yang diluluskan antara Isnin malam hingga Selasa bermakna kuasa tersebut akan kekal berkuat kuasa selama dua tahun lagi.

Menurut kenyataan yang diterbitkan di akaun X Knesset, pindaan itu membenarkan sekatan terhadap siaran media asing yang membahayakan keselamatan negara di bawah peruntukan sementara yang sah sehingga 31 Disember 2027.

Akhbar berhaluan kiri, Haaretz melaporkan, di bawah undang-undang ini, jika perdana menteri menentukan sebuah media asing mengancam keselamatan negara, menteri komunikasi boleh mengarahkan penghentian siarannya.

Menteri komunikasi juga diberi kuasa untuk menutup pejabat media tersebut, merampas peralatan penyiaran dan menyekat laman webnya, menurut teks rang undang-undang yang diterbitkan.

Undang-undang itu menetapkan perdana menteri perlu berunding dengan agensi keselamatan, termasuk polis, sebelum mengeluarkan larangan.

Namun, pendapat positif tunggal mencukupi untuk memerintahkan penutupan tanpa perlu semakan kehakiman.

“Saluran pengganas adalah terlarang, baik dalam keadaan normal mahupun semasa kecemasan.

“Selepas mengundi undang-undang ini beberapa kali sepanjang perang untuk menghentikan siaran Al Jazeera di Israel, malam tadi kami memuktamadkannya tanpa bergantung kepada keadaan kecemasan,” kata Menteri Komunikasi, Shlomo Karhi.

Pemantau media, Reporters Without Borders mengecam langkah ini sebagai serangan serius baharu terhadap kebebasan akhbar, menyifatkannya sebagai skandal dan menuntut keputusan itu ditarik balik.

Menurut laporan, kebebasan media di Israel merosot sejak permulaan perang di Gaza, jatuh 11 anak tangga dalam indeks kebebasan media global 2025 daripada kedudukan ke-101 pada 2024 kepada ke-112 daripada 180 negara.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×