PEMBENTUKAN Kabinet baharu membawa harapan besar rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.
Kabinet perlu memberi fokus yang jelas dan berasaskan data kepada pemerkasaan ekonomi negara dalam situasi ekonomi global tidak menentu, kadar inflasi yang memberi tekanan kepada kos sara hidup serta perubahan struktur ekonomi dunia.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sekitar 4 hingga 5 peratus dalam tempoh terkini, didorong permintaan domestik dan pemulihan sektor perkhidmatan.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ini masih berdepan risiko luaran seperti kelembapan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan turun naik harga komoditi.
Justeru, barisan Kabinet perlu memastikan pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja positif dari segi angka tetapi cukup kukuh untuk menyerap kejutan luaran dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Data menunjukkan kos sara hidup terus menjadi isu utama isi rumah. Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat peningkatan yang konsisten, terutama melibatkan makanan dan minuman bukan alkohol.
Perbelanjaan makanan membentuk lebih 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah. Ini menunjukkan pemerkasaan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada usaha meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengawal tekanan harga.
Barisan Kabinet perlu memastikan dasar ekonomi yang dirangka memberi keutamaan kepada kestabilan harga dan peningkatan pendapatan sebenar rakyat.
Dalam konteks struktur ekonomi, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan yang amat signifikan.
Statistik menunjukkan PMKS menyumbang sekitar 38.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih 7 juta peluang pekerjaan, iaitu hampir 50 peratus daripada guna tenaga negara.
Namun, sumbangan ini masih rendah berbanding negara maju yang mencatat sumbangan PMKS melebihi 50 peratus kepada KDNK. Jurang ini membuktikan wujud potensi besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Ini bermakna, pemerkasaan PMKS perlu menjadi strategi utama untuk melonjakkan ekonomi negara.
Menurut data rasmi, produktiviti buruh Malaysia masih ketinggalan berbanding negara maju serantau seperti Singapura dan Korea Selatan. Antara puncanya ialah kebergantungan kepada sektor berintensif buruh dan penggunaan teknologi yang rendah, khususnya dalam kalangan PMKS. Kabinet yang baharu ditubuhkan ini perlu mempercepat agenda automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi Industri 4.0 bagi meningkatkan produktiviti, sekali gus membolehkan gaji pekerja ditingkatkan secara mampan.
Agenda pendigitalan juga perlu dipercepatkan sebagai sebahagian daripada pemerkasaan ekonomi negara. Teknologi digital berpotensi meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan memperluas akses pasaran, terutamanya kepada usahawan kecil dan sederhana.
Namun, jurang digital antara bandar dan luar bandar serta antara perusahaan besar dan kecil masih wujud. Usaha pendigitalan perlu dilaksanakan secara inklusif agar tiada golongan atau wilayah yang tercicir daripada arus pembangunan ekonomi digital.
Sementara itu, walaupun Malaysia berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai berbilion ringgit setiap tahun, namun tumpuan perlu diberikan kepada kualiti pelaburan, bukan sekadar kuantiti. Pelaburan yang membawa pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan rantaian nilai tempatan akan memberi impak jangka panjang yang lebih besar kepada ekonomi negara. Dasar pelaburan perlu dipastikan selari dengan aspirasi negara untuk membina ekonomi berpendapatan tinggi.
Pembangunan modal insan merupakan komponen penting pemerkasaan ekonomi negara. Kadar pengangguran belia, khususnya dalam kalangan graduan baharu perlu diberi perhatian. Ini menandakan terdapat keperluan untuk memperkukuh hubungan antara pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri.
Kerajaan perlu memastikan pelaburan dalam pendidikan memberi pulangan ekonomi melalui tenaga kerja yang relevan, berkemahiran dan mudah menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Dalam aspek fiskal, kedudukan kewangan negara juga memerlukan perhatian serius.
Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK masih berada pada tahap tinggi, walaupun terkawal. Pengurusan fiskal berhemah amat penting bagi memastikan ruang fiskal mencukupi untuk membiayai pembangunan ekonomi dan perlindungan sosial.
Ini bermakna tumpuan perlu diberikan kepada projek berimpak tinggi, mengurangkan ketirisan dan memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberi pulangan ekonomi dan sosial yang maksimum.
Perdagangan antarabangsa kekal sebagai enjin penting ekonomi. Data menunjukkan eksport Malaysia masih tertumpu kepada beberapa sektor utama seperti elektrik dan elektronik serta komoditi. Walaupun sektor ini menyumbang besar pendapatan negara, namun kepelbagaian eksport perlu dipertingkat bagi mengurangkan risiko kebergantungan. Kabinet perlu menyokong usaha penembusan pasaran baharu dan membantu syarikat tempatan, khususnya PMKS, memanfaatkan peluang dalam perjanjian perdagangan serantau dan global.
Selain itu, Kabinet perlu memastikan negara terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik, bukan sahaja dari segi kos tetapi juga kualiti tenaga kerja, kestabilan dasar dan kemudahan menjalankan perniagaan.
Dalam masa sama, kepentingan industri tempatan perlu dilindungi agar syarikat tempatan tidak terpinggir dalam arus globalisasi. Strategi penembusan pasaran eksport, sokongan kepada syarikat tempatan dan pematuhan piawaian antarabangsa perlu diperkukuh bagi meningkatkan daya saing negara.
Pemerkasaan ekonomi negara juga perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar. Statistik menunjukkan kos bencana alam seperti banjir mencecah berbilion ringgit dan memberi kesan besar kepada ekonomi serta kehidupan rakyat.
Oleh itu, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan adaptasi perubahan iklim bukan sahaja melindungi alam sekitar, malah membuka peluang ekonomi baharu.
Selain itu, pemerkasaan ekonomi negara perlu dilaksanakan dengan pendekatan tadbir urus yang baik. Kecekapan pentadbiran, ketelusan, akauntabiliti dan integriti merupakan prasyarat penting bagi memastikan dasar ekonomi dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Kabinet perlu memastikan setiap kementerian dan agensi bergerak seiring dengan matlamat pemerkasaan ekonomi negara, bukannya beroperasi secara terpisah atau bersifat silo.
Pendekatan keseluruhan kerajaan amat penting bagi memastikan penyelarasan dasar dan keberkesanan pelaksanaan. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










