PERNIAGAAN pusat kecantikan di Malaysia sedang mengalami perubahan besar. Ini didorong permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap rawatan estetik, penjagaan wajah, spa kesejahteraan dan teknologi kecantikan moden.
Ini bukan sahaja mencerminkan perubahan gaya hidup masyarakat tetapi memperlihatkan potensi sektor ini untuk menjadi produk atau sektor pelancongan negara yang bernilai tinggi.
Seiring perkembangan itu, ada beberapa isu turut timbul. Antaranya rawatan berisiko yang dilakukan pengusaha tidak bertauliah, penggunaan produk tidak berdaftar, iklan mengelirukan, premis kotor, caj tersembunyi dan ketiadaan garis perundangan khusus bagi mengawal prosedur terapi mahupun etika perkhidmatan.
Dalam kes lain, ada yang menggunakan modus operandi dengan memaparkan sijil lulusan akademi kecantikan di London, Paris atau New York.
Ataupun ada yang menggantung sijil lulusan agensi kecantikan yang berkolaborasi dengan akademi kecantikan seberang laut. Semua dilakukan untuk meyakinkan pelanggan terhadap kemahiran dan kualiti perkhidmatan mereka. Persoalannya, siapa yang memantau ketulenan sijil dan memgesahkan kemahiran mereka?
Semua isu ini menunjukkan pembangunan perniagaan kecantikan tidak boleh di kesampingkan atau berlaku secara bersendirian. Menurut Persatuan Kecantikan dan Kesejahteraan Malaysia (Be’Hamas), ada lebih 25,000 pengusaha dalam industri ini.
Ini jumlah yang sangat besar dan melibatkan transaksi jutaan ringgit. Namun, mereka memerlukan bantuan mahupun pembelaan kerajaan.
Perlu diwujudkan platform yang boleh menyatukan semua pengusaha dan bertindak menjadi penghubung dengan pengguna mahupun badan pengawalseliaan supaya keseluruhan ekosistem sektor ini bergerak secara profesional, mampan serta selamat.
Kerajaan juga perlu mewujudkan dasar pembangunan dan rangka kerja undang-undang yang teratur supaya pusat kecantikan beroperasi mengikut kategori rawatan dibenarkan.
Pengkelasan pusat ini kepada kategori non-invasif, semi-invasif dan invasif membolehkan setiap jenis rawatan diurus oleh tenaga kerja yang sesuai dengan kelayakan atau kemahiran.
Rawatan invasif seperti suntikan filler, botox atau laser perlu dilakukan doktor bertauliah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Rawatan biasa seperti perapian muka, urutan dan spa boleh dilakukan terapis kecantikan berkelayakan.
Kerajaan pun perlu memastikan peraturan penggunaan produk dan peralatan kecantikan diperketatkan. Semua produk wajib didaftarkan di bawah KKM menerusi kod khusus. Mesin rawatan perlu diberi pengiktirafan keselamatan oleh SIRIM atau badan piawaian lain.
Penguatkuasaan perlu dilakukan termasuk melalui pengawasan dan pemeriksaan mengejut terhadap pusat kecantikan, termasuk rekod pelanggan, tahap kebersihan serta etika perkhidmatan.
Tujuannya supaya pelanggan mahupun pengusaha mendapat perlindungan sewajarnya manakala pusat yang melanggar peraturan dikenakan tindakan tegas.
Pengusaha pusat kecantikan juga memikul tanggungjawab besar untuk memastikan operasi perniagaan mematuhi piawaian operasi yang tinggi. Ini meliputi aspek petugas yang terlatih untuk mengendalikan rawatan dan pengurusan peralatan.
Ketelusan harga adalah satu lagi keperluan penting yang sering diabaikan. Pusat kecantikan perlu memaparkan harga jelas termasuk pakej, caj tambahan dan polisi pembatalan rawatan supaya pelanggan tidak merasa terperangkap dengan strategi pemasaran mereka.
Pelanggan perlu diberi konsultasi yang lengkap dan jujur sebelum rawatan, sebagai asas kepada etika perkhidmatan profesional. Ini untuk membina reputasi yang kukuh, meningkatkan kepercayaan pelanggan dan mengurangkan risiko aduan atau pertikaian.
Peranan pengguna juga sangat penting dalam memastikan industri kecantikan berkembang secara pesat dan sihat.
Mereka harus lebih peka dan berani bertanya mengenai kelayakan staf, lesen operasi serta status produk digunakan selain mengelakkan rawatan yang menawarkan keputusan terlalu cepat atau kesan yang kelihatan ‘ajaib’.
Dengan pengawalan isu dari awal, industri kecantikan Malaysia boleh berkembang menjadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa.
Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan kecantikan dan kesejahteraan kerana mempunyai gabungan unik antara teknologi moden, warisan budaya tradisional, kepelbagaian etnik dan hospitaliti mesra.
Penjenamaan negara sebagai pusat kecantikan bertaraf antarabangsa memerlukan usaha strategik seperti menghasilkan identiti jenama nasional, mempromosikan Malaysia sebagai destinasi rawatan yang selamat dan berpatutan serta meletakkan piawaian kualiti yang tinggi untuk semua pusat rawatan.
Pensijilan antarabangsa seperti ISO akan membantu meningkatkan kredibiliti pengusaha dan memastikan mereka memenuhi standard kualiti, keselamatan dan profesionalisme yang diiktiraf di peringkat global.
Promosi digital di luar negara pula dapat memperluaskan pasaran ke rantau Asia, Timur Tengah dan Eropah. Tidak keterlaluan jika sebahagian pengusaha beroperasi dengan patuh syariah untuk menarik pelancongan Muslimah dari seluruh dunia.
Pembangunan pelancongan kecantikan memerlukan penyediaan pakej menyeluruh merangkumi rawatan kecantikan, spa, kesejahteraan, penginapan hotel, lawatan pelancongan, makanan tradisional dan kemudahan pengangkutan.
Kerjasama strategik dengan hotel, syarikat penerbangan, pusat beli-belah dan agensi pelancongan boleh memperkukuhkan lagi penawaran pakej.
Penyertaan dalam pameran antarabangsa membolehkan Malaysia memperkenalkan kelebihan industri kecantikan kepada pelancong global.
Aspek perundangan dan penyediaan dana turut memainkan peranan besar dalam pembangunan jangka panjang industri kecantikan.
Kerajaan boleh menyediakan geran permulaan kepada pusat kecantikan baharu, pembiayaan mikro kepada usahawan wanita dan muda serta insentif cukai bagi pembelian peralatan rawatan moden.
Institusi kewangan dan pelabur swasta boleh menggerakkan modal menerusi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelaburan teknologi kecantikan atau model francais untuk memperluaskan cawangan pusat kecantikan berkualiti tinggi.
Insentif khas boleh diberi kepada pengusaha yang mengambil kursus pensijilan, mendapatkan pensijilan halal atau melabur dalam standard kebersihan bertaraf antarabangsa.
Latihan dan pembangunan kemahiran menjadi asas kejayaan keseluruhan industri. Keperluan terhadap tenaga kerja profesional semakin meningkat kerana pelanggan masa kini lebih berpengetahuan dan menuntut perkhidmatan berkualiti.
Justeru, pusat latihan nasional perlu diwujudkan untuk melahirkan terapis kecantikan yang mahir dalam rawatan moden dan tradisional, memahami risiko rawatan, serta mampu memberikan konsultasi profesional berasaskan etika.
Program kemahiran juga dapat menaikkan standard kemahiran pekerja, manakala latihan lanjutan tahunan memastikan pekerja sentiasa mengikuti perkembangan teknologi kecantikan selain perubahan regulatori terkini.
Konsep perniagaan pula perlu diperhalusi bagi memenuhi kehendak pelancong moden termasuk mengetengahkan rawatan berasaskan budaya tempatan seperti urutan Melayu, rawatan herba, lulur tradisional, jamu moden dan aromaterapi tropika.
Ini bukan sahaja meningkatkan nilai tambah bahkan membezakan Malaysia daripada destinasi lain.
Aspek penggunaan teknologi seperti mesin rawatan klinikal, analisis kulit berasaskan kecerdasan buatan (AI) atau aplikasi tempahan digital menambah elemen moden yang digemari pelanggan antarabangsa.
Pusat kecantikan juga boleh memperkenalkan konsep gabungan ‘kecantikan, kesejahteraan dan pelancongan’ bagi memberikan pengalaman menyeluruh merangkumi rawatan, relaksasi, rekreasi serta pelancongan budaya.
Semua ini perlu didukung oleh etika perkhidmatan yang menjadi nadi utama profesionalisme industri ini. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.










