Al-Majd Europe seludup rakyat Palestin keluar dari Gaza

Al-Majd Europe seludup rakyat Palestin keluar dari Gaza

SEORANG lelaki berjalan di celah runtuhan rumah dan bangunan di kem pelarian Nuseirat, Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Satu siasatan eksklusif mendedahkan kewujudan sebuah syarikat rahsia dikenali sebagai Al-Majd Europe yang didakwa terlibat aktiviti menyeludup rakyat Palestin keluar dari Gaza dengan mengenakan bayaran tinggi.

Menurut laporan Al Jazeera, syarikat tersebut didakwa beroperasi sebagai organisasi hadapan tidak berdaftar dan menyamar sebagai badan kemanusiaan, namun hakikatnya terlibat dalam rangkaian pemindahan sulit penduduk Gaza ke luar negara.

Siasatan mendapati ­Al-Majd Europe mempunyai kaitan dengan individu dan entiti yang berpangkalan di Israel, selain dipercayai terlibat dalam pengaturan penerbangan rahsia bagi membawa rakyat Palestin keluar dari Gaza melalui laluan tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara kes yang dibongkar ialah penerbangan mencurigakan pada 13 November lalu yang membawa 153 rakyat Palestin dari Gaza ke Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo di Johannesburg, Afrika Selatan.

Kumpulan itu dilaporkan tiba tanpa dokumen perjalanan lengkap serta tanpa cop keluar rasmi.

Situasi tersebut mencetuskan tindakan pihak berkuasa Afrika Selatan yang menahan kumpulan berkenaan sebaik ketibaan mereka untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai status, laluan perjalanan dan tujuan kemasukan mereka ke negara itu.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan operasi berkenaan berkemungkinan sebahagian daripada usaha tersusun untuk mengosongkan Gaza daripada penduduk asalnya, yang boleh ditafsirkan sebagai pemindahan paksa.

Siasatan turut mendedahkan kewujudan ejen perekrut yang menawarkan “pakej pelarian” kepada keluarga Palestin dengan bayaran mencecah ribuan dolar, kononnya menjanjikan laluan selamat ke negara ketiga melalui Israel dan Kenya.

Setakat ini, pihak berkuasa Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Namun, pendedahan itu mencetuskan tekanan antarabangsa terhadap Tel Aviv, manakala kumpulan hak asasi menggesa siasatan bebas dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini