KAJANG: Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menjadi ujian sebenar kepada kerajaan sama ada benar-benar mengakui realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan berani mengiktiraf kepelbagaian aliran pendidikannya atau sebaliknya.
Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Tan Yew Sing berkata, sekiranya negara ini mengiktiraf kewujudan sistem pendidikan pelbagai aliran, maka semua pelajar tanpa mengira latar belakang kaum dan jenis sekolah perlu diberikan laluan yang adil untuk meneruskan pengajian, khususnya di institusi pengajian tinggi tempatan.
“Isu UEC ini adalah satu simbol. Persoalannya, adakah negara ini benar-benar menerima realiti masyarakat majmuk dan sistem pendidikan berbilang aliran?
“Jika kita menerima sistem tersebut, maka semua pelajar sebagai warganegara Malaysia perlu diberikan peluang yang adil untuk melanjutkan pengajian,” katanya ketika ditemubual eksklusif bersama Utusan Malaysia.
Katanya, pengiktirafan UEC sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang boleh diraikan bersama kerana mencerminkan kematangan negara dalam mengurus kepelbagaian serta memperkukuh ekosistem pendidikan nasional.
“Jika UEC diiktiraf, kita raikan bersama dan bergerak ke hadapan untuk memperkukuh sistem pendidikan negara. Tetapi jika UEC terus tidak diterima oleh universiti tempatan, ia adalah satu kerugian besar kepada negara, khususnya dari sudut pembangunan modal insan,” katanya.
Mengulas penerimaan antarabangsa terhadap UEC, Yew Sing berkata, lebih 1,000 universiti di seluruh dunia menerima kelayakan tersebut, termasuk institusi di negara-negara maju.
“Walaupun jumlah itu tidak besar jika dibandingkan dengan keseluruhan universiti global, ia tetap signifikan kerana melibatkan negara seperti China, Taiwan, Singapura,” katanya.
Katanya lagi, pengiktirafan UEC juga memberi kelebihan dari segi kesinambungan akademik.
“Sebagai contoh, terdapat universiti di China yang mengecualikan pemegang UEC daripada ujian bahasa Cina, sekali gus memudahkan kemasukan dan penyesuaian pelajar,” katanya.
Katanya, prinsip itu sama seperti pendekatan kerajaan menghantar pelajar ke program A-Level atau kolej persediaan luar negara, di mana kesinambungan bahasa dan sistem pembelajaran memudahkan peralihan ke peringkat universiti.
“Apabila pembelajaran dibuat dalam bahasa tertentu, kesinambungan ke universiti menjadi lebih lancar. UEC juga berfungsi dengan prinsip yang sama, khususnya bagi kemasukan ke universiti di China, Korea dan Jepun,” katanya.
Yew Sing turut berkata, dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum, aliran pendidikan seperti UEC tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai satu aset yang boleh menyumbang kepada daya saing negara jika diurus secara inklusif dan adil.
“Banyak pelajar kita menyambung pengajian di luar negara dan mahu kekal di negara tersebut kerana merasakan tidak diterima di Malaysia.
“Ia menjadi kerugian kepada negara kerana kehilangan tenaga kerja yang berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Yew Sing turut berkata, Dong Zong bersedia berbincang dengan Kementerian Pendidikan dalam menambah baik pendekatan untuk mengiktiraf UEC di negara ini. – UTUSAN











