Adam, Marhamah dan Hannah melawan persepsi

Adam, Marhamah dan Hannah melawan persepsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Kabinet yang baharu, saya telah membuat hantaran di akaun Facebook saya.

Hantaran yang merupakan ingatan keras kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Ali tentang perjuangannya untuk pendidikan percuma dan menghapuskan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) telah tular di media sosial. 

Saya sama sekali tidak menyangka, hantaran tersebut tular dan rata-rata memberikan reaksi negatif yang sama sekali tidak yakin alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  itu mampu melaksanakannya. 

Bagi saya, kita tidak boleh meramalkan masa depan. Tidak adil untuk terus membuat kesimpulan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu tidak mampu melaksanakannya walaupun kelihatan agak sukar. 

Beri peluang kepada beliau yang masih mempunyai baki masa kurang lebih 24 bulan untuk melaksanakannya atau sekurang-kurangnya menunjukkan usaha serta ikhtiar yang bersungguh-sungguh. 

Pelantikan Adam adalah tiga perkara utama menimbulkan reaksi ‘agak’ negatif selepas pengumuman barisan Kabinet yang baharu. 

Jujurnya, saya percaya Anwar telah membuat pertimbangan yang mendalam sebelum membuat keputusan tersebut. Beliau bukan baharu. Beliau faham sangat sepak terajang politik, di mana harus keluarkan buah ‘tai chi’ dan ketika mana harus menjadi seperti air yang tenang serta mendamaikan. 

Anwar meletakkan Adam di tempat yang betul bagi memastikan mahasiswa yang merupakan di antara penyokong utama Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk terus kekal bersama mereka. 

Adam adalah aktivis mahasiswa, beliau pasti tahu gejolak anak muda di universiti. Kritikal dan rebel. Ini juga peluang untuknya merealisasikan matlamat perjuangannya, seperti kata Iwan Fals, negara harus bebaskan biaya pendidikan.

Dalam masa yang sama, netizen juga banyak ‘bising-bising’ mengenai pelantikan Marhamah Rosli sebagai Timbalan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

Tiga perkara dikait dengan beliau tetapi semuanya telah dijawab. Jadi tidak perlu saya ulas panjang kerana Marhamah bukan calang-calang orangnya. 

Beliau yang dikatakan mencetuskan perjuangan untuk Zara Qairina. Seorang aktivis dan pejuang wanita. Latar belakang akademiknya juga hebat. Lulusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta turut mendalami bahasa Arab di sebuah universiti di Yaman.

Dalam bidang kebajikan, beliau berperanan sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah, sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada kebajikan wanita, pendidikan anak-anak asnaf serta pembangunan modal insan. 

Paling penting beliau tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Menteri Agama juga tidak terlibat dengan parti tetapi aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Menteri dan Timbalan Menteri saling melengkapi. 

Menduduki carta teratas ulasan pengumuman Kabinet ialah pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya. Dua-dua Cina. Seorang dari Kuala Lumpur dan seorang dari Sabah. 

Kad perkauman dimainkan sepenuhnya.Orang Melayu bimbang. Ini kerana banyak yang melihat DAP sehingga hari ini tidak membuktikan mereka adalah parti untuk  semua. 

Kebimbangan ini ada asasnya kerana perjuangan parti itu untuk mengadakan pilihan raya perbandaran dan cakap-cakap, usaha untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Dewan Rakyat tetap diteruskan. 

Ditambah pula, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dahulunya dilihat sebagai tonggak untuk mendidik bumiputera menceburi dunia perniagaan turut diterajui oleh DAP. 

Khalayak mencatumkan potfolio menteri-menteri DAP sangat berkaitan bagi memudahkan agenda mereka direalisasikan. 

Pun begitu, saya percaya ini juga ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN). DAP perlu bekerja keras untuk mengembalikan semula penyokong tegar mereka, yakni orang Cina. 

Dalam masa sama, Anwar juga memerlukan DAP yang kuat kerana parti ini adalah tulang belakang kepada kedudukannya di Putrajaya. Jika DAP kuat akan turut memberikan kesan kepada PKR yang bertanding di kerusi campuran dalam pilihan raya. 

 

24 BULAN PENENTU

Namun seperti yang saya sebut di atas, Anwar bukan orang baru dalam politik. Beliau tahu apa yang beliau buat. Pastinya ada strategi untuk mendamaikan orang Melayu. 

Tiga tahun sudah berlalu. Banyak yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Madani. Jangan kata, kerajaan ini tidak ada jasa. Setiap pemimpin ada jasanya. Cuma perlu diuar-uarkan sebanyak mungkin supaya semua tahu. 

Dan baki 24 bulan harus digunakan sebaik mungkin. Memperbaiki semua yang lompong, menutup mulut semua yang bising-bising. 

Tugas Anwar bukan mudah. Mengimbangi antara desakan parti-parti yang ada dalam kerajaan  kerana semuanya mempunyai mimpi yang berbeza biar tidur sebantal, apatah lagi ekspetasi rakyat yang tinggi kerana janji kempennya sejak 25 tahun lalu tinggi melangit. 

Beri masa kepada Kabinet baharu buat kerja. Terlalu awal untuk bising, sekarang hanya perlu memberi ingatan kepada mereka tentang janji dan perjuangan untuk rakyat sebelum ini. Itu sahaja. 

Cuma saya ingin menutup artikel ini dengan satu pertanyaan daripada orang UMNO – Bagaimana titah adendum ‘Bossku’?.-UTUSAN

 
PENULIS ialah seorang pengamal komunikasi yang pernah bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia, setiausaha akhbar kepada menteri dan pegawai khas (media dan komunikasi strategik) kepada Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×