Sampai bila mahu terperangkap dalam ‘gua’?

Sampai bila mahu terperangkap dalam ‘gua’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI dalam penceritaan atau falsafah Alegori Gua Plato, beliau mengisahkan suasana sekumpulan manusia dipenjarakan di sebuah gua yang gelap gelita sejak dilahirkan. Mereka membesar dalam keadaan terikat, tidak boleh bergerak alih dari kedudukan serta tidak dibenarkan menoleh ke arah lain.

Sepanjang kehidupan, tiada apa yang boleh mereka lihat selain daripada bayang pada dinding gua. Bayang-bayang tersebut hanyalah wayang yang dimainkan oleh si tok dalang, namun itulah yang mereka yakin sebagai dunia sebenarnya.

Inilah sebahagian daripada metafora yang diungkapkan Plato melalui kisah ungkapan guanya dalam tulisan Republik bagi memperlihatkan kesan pendidikan ke atas cara pemikiran manusia dan bagaimana ilmu pengetahuan akan membebaskan manusia daripada keadaan minda yang tertawan.

Kisah tersebut menggambarkan betapa sempitnya pemikiran manusia jika mereka bersikap jumud dan percaya bulat-bulat apa yang disuapkan tanpa berfikir dan mengkaji menggunakan akal fikiran waras.

Jelas Plato, minda manusia mudah percaya kepada bayangan cerita persepsi mainan tok dalang yang melakar cerita di dinding gua, sehingga mereka percaya sepenuh hati bahawa persepsi itu ialah kenyataan tanpa ilmu pengetahuan.

Dengan kata lain, dalam kisah Plato ini kita melihat manusia tidak mampu berfikir melangkaui apa yang disuap ke minda sehinggakan mereka tidak dapat membezakan di antara persepsi dan realiti tanpa ilmu pengetahuan.

Seterusnya, Plato menggambarkan bagaimana tawanan yang pertama kali boleh keluar daripada gua tersebut merasa amat keliru kerana apa yang selama ini dipercayai sebagai dunia sebenar hanyalah persepsi daripada bayang-bayang yang terpapar pada dinding gua dan bukannya realiti.

Menyedari hal sebenarnya, tawanan itu kembali ke gua tersebut untuk berkongsi ilmu yang diperolehnya bersama tawanan lain. Namun mereka berkeras menolak apa yang diucapkannya, malah percaya tawanan itu telah rosak pandangannya akibat melihat dunia luar. Mereka tetap yakin bayang-bayang pada dinding gua itulah kehidupan yang sebenarnya.

 

PENDIDIKAN kini semakin sempit maknanya, hanya tertumpu pada gred, sijil dan ganjaran material tanpa menekankan pembangunan akal, nilai mahupun kebijaksanaan.

PENDIDIKAN

Hal ini boleh dikaitkan dengan hakikat kehidupan di alam nyata. Ia menggambarkan betapa pentingnya ilmu dan kebijaksanaan untuk membebaskan kita daripada terperangkap dalam kitaran kepalsuan.

Jika merasa puas dengan ilmu yang kita ada sehingga tidak lagi merasakan keperluan untuk belajar dan terus belajar mendalami ilmu, maka kita takkan dapat ke mana-mana. Bersembang kencang seolah-olah kita lebih pandai berbanding orang lain hanya menyerlahkan keadaan kita ibarat tin kosong yang tiada isinya.

Malang sekali apabila ada dalam kalangan anak muda yang terperangkap dalam kitaran kepalsuan realiti kehidupan. Mereka tidak lagi menghargai ilmu sebagai penyuluh kehidupan.

Bagi mereka, perjalanan hidup daripada sekolah ke universiti hanyalah satu proses yang wajib dilalui bagi memastikan mampu menikmati hidup yang senang pada masa hadapan.

Kita membiarkan diri dibawa arus persepsi kehidupan moden yang terlalu berkiblatkan kebendaan. Kita belajar bukan untuk menimba ilmu tetapi hanya untuk memperoleh markah tinggi supaya boleh mendapat pekerjaan yang bergaji tinggi.

Pendidikan hanya dilihat sebagai alat untuk mendapatkan kedudukan dan kemewahan. Ia bukan lagi bertujuan untuk pengisian diri dengan ilmu pengetahuan tetapi hanya untuk mendapatkan sijil dan pengiktirafan semata-mata. Tiada lagi kemanisan ilmu kerana yang dikejar hanyalah markah dan gred.

Bagi kita, itulah jalan kehidupan moden yang mesti diikuti. Kerana itulah bayang yang kita lihat pada dinding gua yang kita anggap sebagai realiti. Kenapa perlu kita bersusah payah mencari sesuatu baharu yang lebih mencabar dan memeningkan?

Oleh sebab itu, belajar bagi sebahagian kita hanya bermakna proses menghafal maklumat tertentu dan membuat latih tubi bagi memastikan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan sempurna mengikut skema yang ditetapkan.

Ada yang bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) untuk membuat tugasan dengan mudah dan cepat. Sudah ada cara segera, kenapa perlu mengikut cara lama dengan bersengkang mata menelaah buku teks?

Justeru, ijazah bukan lagi ukuran ilmu di dada. Ramai ibu bapa sendiri pun yang lebih mementingkan gred anak berbanding ilmu yang diperoleh.

Akibatnya, hal ini menghakis minat untuk belajar dalam diri anak-anak, namun yang disalahkan ialah pemansuhan peperiksaan. Jika pelajar belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan penting sahaja, kita akan berhadapan dengan kegersangan ilmu dalam masyarakat.

Maka, jika majikan tidak lagi mewajibkan ijazah sebagai syarat bekerja, adakah universiti kita nantinya hanyalah dipenuhi kerusi dan bilik kuliah yang kosong?

Apabila hidup kita terlalu berkiblatkan kebendaan, kita tidak lagi menghormati ilmu. Guru dan pensyarah tidak lagi dihormati, apa yang diajar diperlekehkan, sehinggakan institusi tempat menimba ilmu pun dijadikan bahan lawak, hinaan dan kutukan.

Hakikatnya tanpa disedari, kita sedang terperangkap dalam gua kedua iaitu minda sendiri. Tanpa sedar, kita sendiri yang mengunci minda dalam tempurung keangkuhan diri yang dibuai khayalan awangan.

Hal ini sering sekali berlaku dalam kalangan golongan yang giat melaung-laungkan tentang kuasa belia. Dengan pengalaman dan pandangan yang kurang lagi sempit, mereka lantang membantah apa segala yang ada kononnya kerana belia mesti membawa perubahan.
Hakikatnya, mereka hanya syok sendiri, terperangkap dalam penjara minda angkuh mereka.

Kita harus melihat dunia yang sebenarnya dan bukannya membiarkan diri ditipu persepsi lantas menutup pintu hati daripada mencari kebenaran.

Perangi keangkuhan diri dengan membekalkan diri dengan ilmu. Tanpa membuka diri kepada ilmu pengetahuan, kita akan terus terpenjara dan selama-lamanya tidak perasan pandangan semesta terdiri daripada wayang tok dalang semata-mata.

Kita harus berani melangkah keluar ke pentas baharu yang lebih mencabar dan bukannya memenjarakan diri di bawah tempurung kerana takut akan cabaran yang akan ditempuhi.

Darah muda harus dibekalkan dengan kearifan dan kesusilaan, bukan perasaan dan semangat semata-mata.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×