KUANTAN: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan membawa cadangan menaikkan kadar bantuan wang ihsan banjir yang berjumlah RM1,000 pada ketika ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan bantuan disalurkan lebih bersesuaian dengan keperluan semasa serta dapat meringankan beban mangsa yang terjejas.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan jumlah kenaikan bantuan itu sebaliknya berkata, ia akan bergantung kepada kemampuan kerajaan.
“Saya pun dapati begitu (kos sara hidup tinggi), jadi saya akan bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri akan datang untuk dapat kelulusan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, di sini hari ini.
Terdapat 1,464 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak Isnin.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan, semua mangsa banjir akan menerima bantuan wang ihsan sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.
Katanya, pendekatan itu diambil kerajaan selepas mendapati kebanyakan mangsa banjir memerlukan wang segera untuk kerja membersihkan rumah dan membeli barang keperluan lain.
“Sebelum ini kita agihkan bantuan wang ihsan selepas mereka balik dari PPS, sekarang kita serahkan ketika mangsa masih di PPS. Kita tahu ada antaranya memerlukan bantuan kewangan, jadi kerajaan merasakan perlu untuk segerakan,” jelasnya.
Ditanya tentang kemungkinan mangsa banjir berulang boleh menerima bantuan wang ihsan, beliau berkata, setiap mangsa banjir boleh menerimanya jika terbabit dengan bencana banjir selepas tiga bulan menerima bantuan kali pertama.
“Ini diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan mereka boleh dapat bantuan wang ihsan jika terkena banjir lagi, tapi dalam jarak masa tiga bulan,” katanya.
Sehingga kini, katanya, seramai kira-kira 47,000 daripada mangsa banjir gelombang pertama sudah menerima bantuan wang ihsan mereka. – UTUSAN










