PETALING JAYA: I-Berhad, pemaju induk i-City, hari ini mengumumkan kejayaan pembukaan Pusat Pengalaman AI World di Galeri Jualan i-City, sekali gus menjadi pusat pengalaman kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia.
Pusat berkenaan menawarkan pendedahan langsung kepada pengunjung mengenai penerapan AI merentasi persekitaran kediaman, komersial, kesejahteraan serta gaya hidup bandar masa depan di i-City.
Dibangunkan dengan kerjasama Agibot, antara syarikat robotik humanoid terkemuka dunia, pusat ini menampilkan sebanyak 100 robot humanoid sebagai sebahagian daripada demonstrasi teknologi interaktif.
Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pembukaan Pusat Pengalaman AI World menandakan pencapaian penting bagi kumpulan itu serta i-City.
“Ia mewakili realisasi pertama AI World dan menunjukkan bagaimana kecerdasan buatan serta robotik boleh diintegrasikan secara bermakna dalam persekitaran bandar bagi meningkatkan fungsi, kecekapan dan pengalaman gaya hidup,” katanya dalam majlis pelancaran di Shah Alam, hari ini.
Menurut beliau, pembukaan pusat berkenaan merupakan peristiwa penting pertama dalam pelaksanaan AI World, yang membentuk komponen teras kepada baki nilai pembangunan kasar (GDV) I-Berhad bernilai kira-kira RM5 bilion di i-City.
Inisiatif tersebut dijangka meningkatkan kecekapan operasi, memperkaya pengalaman pengguna serta mewujudkan aliran pendapatan berulang yang boleh diskala melangkaui kitaran hartanah konvensional, sekali gus mengukuhkan kedudukan i-City sebagai bandar digital utama negara.
Dalam perkembangan berkaitan, I-Berhad turut memajukan perancangan untuk melaksanakan Robotik-sebagai-Perkhidmatan (RaaS) merentasi portfolio hartanah pelaburan bernilai RM1 bilion, melibatkan integrasi automasi dipacu AI dalam pengurusan hartanah, hospitaliti, gaya hidup serta operasi aset.
“Menjelang pelancaran rasmi AI World pada Januari ini, Pusat Pengalaman berfungsi sebagai asas kepada visi kami untuk mentransformasikan i-City menjadi ekosistem bandar berasaskan teknologi.
“Disokong GDV yang kukuh serta asas hartanah pelaburan yang semakin berkembang, AI World dijangka meningkatkan nilai aset, mengukuhkan pendapatan berulang dan meletakkan I-Berhad di barisan hadapan pembangunan bandar pintar di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah i-City, Datuk Eu Hong Chew berkata, penggunaan robotik membantu menjadikan AI lebih mudah difahami dan diterima oleh masyarakat.
“Kecerdasan buatan boleh kelihatan jauh bagi kebanyakan orang, namun robotik menjadikannya lebih nyata. Apabila orang ramai dapat melihat dan berinteraksi dengan kecerdasan bergerak, AI menjadi kurang menakutkan dan lebih menarik,” katanya.
Melalui pameran interaktif dan demonstrasi langsung, Pusat Pengalaman AI World turut mencerminkan strategi jangka panjang I-Berhad dalam mengintegrasikan teknologi ke dalam kehidupan bandar harian, termasuk pengurusan kemudahan pintar, perkhidmatan hospitaliti, sokongan kesejahteraan serta persekitaran pintar.
Pusat Pengalaman AI World kini dibuka kepada orang ramai dalam mod pratonton, dengan peluasan pameran dan program dirancang pada fasa seterusnya.
Pelancaran rasmi AI World dijadualkan pada 13 Januari 2026, sekali gus dijangka menjadi inisiatif utama dalam landskap transformasi digital negara. – UTUSAN










