Etnik Cina jadilah minoriti baik

Etnik Cina jadilah minoriti baik

BAHASA Mandarin hanya berstatus vernakular dengan keistimewaan yang sudah mencukupi termasuk membenarkan sekolah jenis kebangsaan dan swasta beroperasi dengan dana kerajaan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN kepimpinan Cina tertentu yang kerajaan semasa akan memperkenal dasar bahasa baharu dalam tempoh enam bulan lagi, mengejutkan banyak pihak. Ini kerana ia timbul secara tiba-tiba dan tidak pernah pun dibayangkan mana-mana pihak, khususnya kepimpinan Melayu.

Lebih mengejutkan, dasar baharu itu didakwa akan memperluas penerimaan penggunaan bahasa Mandarin berbanding keadaan sedia ada. Antaranya dengan mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang penuh kontroversial untuk tujuan kemasukan ke institusi pendidikan awam dan sektor pekerjaan awam.

Dasar bahasa kita, secara de jure, yakni jelas ternyata dalam bentuk perundangan, khususnya pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Sehubungan ini, ia sekali gus mendukung peranan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Dalam pada ini, bahasa lain boleh terus diajar dan dipelajari. Dalam hal ini, sama sekali tidak dilarang penggunaan bahasa lain, kecuali untuk urusan rasmi yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sahaja.

Untuk penjelasan maksud rasmi itu, dinyatakannya sebagai ehwal yang berkaitan dengan kerajaan pusat, negara dan badan awam.

Walaupun begitu, secara de facto, iaitu amalan yang wujud yang tidak pun dimaktubkan secara perundangan, bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua penting di negara ini. Kepentingan ini antaranya berdasarkan sejarah tanah air yang pernah dijajah oleh Inggeris, selain keadaan semasa yang bahasa itu merupakan bahasa antarabangsa terpenting pada masa ini.

Juga secara de facto, selepas bahasa Inggeris baharulah tersenarai pelbagai bahasa lain, dengan taraf dan peranan masing-masing, termasuklah bahasa Mandarin.

MANDARIN SEKADAR VERNAKULAR

Dalam dasar bahasa kita, bahasa Mandarin bertaraf vernakular sahaja. Dengan ini, peranannya terhad sekali, iaitu hanya dalam ranah keluarga sebagai bahasa ibunda untuk etnik Cina. Lebih dari itu, hanya boleh digunakan dalam ranah komuniti, iaitu sesama etnik Cina pada peringkat masyarakat sahaja.

Sebagai hanya vernakular, bahasa Mandarin bukan sahaja tidak sepatutnya berada dalam ranah negara, juga tidak boleh sebegitu dominan sehingga dituntut taraf dan peranan lebih besar. Antaranya sebagai bahasa rasmi bersama pada satu masa dahulu.

Oleh itu, etnik Cina hendaklah berpada-pada dalam prakarsa dan tiwikarma mereka untuk mengembangkannya di negara ini.

Sehubungan ini, bahasa Mandarin tidak boleh sesekali mengatasai kedudukan bahasa Inggeris, apatah lagi martabat bahasa Melayu.Inilah sifirnya dalam dasar bahasa kita di Malaysia.

Seiring kebangkitan China sebagai kuasa besar, etnik Cina dan rakyat Malaysia diingatkan agar tidak terlalu ghairah mengenai hal ini, walaupun kepentingan bahasa Mandarin sebagai bahasa antarabangsa tetap diakui dan perlu dikuasai dengan baik.

Rasa ghairah dan teruja itu tidak boleh sesekali ibarat mendengar guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan. Filsafat peribahasa Melayu ini yang bukan sahaja dalam, juga geliga, harus dihayati dalam konteks kenegaraan.

Dalam hal ini, bahasa Melayu walaupun tidak sebesar bahasa Mandarin, tidak boleh sama sekali dipinggirkan meskipun secara teori untuk mengakomodasikan bahasa Mandarin. Apatah lagi secara praktikal dengan terus mengkesampingkannya.

Ini kerana bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah jati diri kebangsaan. Dalam hal ini, ia penting untuk identiti nasional untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya. Ini berbeza sekali dengan bahasa Mandarin yang hanya merupakan bahasa asing, yakni tidak pun berasal dari Malaysia. Justeru tiada apa-apa sentimen kenegaraan.

Dalam konteks kenegaraan ini, etnik Cina Malaysia diseru untuk menjadi Orang Malaysia berketurunan Cina, bukannya Orang Cina dari Malaysia. Sebagai Orang Malaysia, etnik Cina diwajibkan mengutamakan aspirasi Malaysia yang tidak dapat lari daripada berupa aspirasi Melayu. Ini kerana negara ini ialah bumi Melayu-Islam.

Sehubungan ini, mereka wajib berintegrasi sepenuhnya ke dalam struktur sosiobudaya Melayu. Dengan ini, penguasaan bahasa Melayu yang tinggi itu akan membawa kepada pemahaman budaya Melayu yang baik. Inilah jati diri kebangsaan yang wajib ada pada setiap rakyat untuk melayakkan mereka menggelarkan diri sebagai warganegara Malaysia.

Malangnya perkara yang sebaliknya berlaku, mereka mahu terus menjadi orang Cina yang berasal dari Malaysia. Ini apabila mereka enggan berintegrasi sepenuhnya kerana mahu terus menjadi Cina totok.

Dalam konteks ini, pendekatan sedia ada tidak wajar diteruskan tanpa penyesuaian. Ia perlu diselaraskan dengan nilai Melayu-Islam, selaras dengan prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, iaitu menghormati dan mematuhi resam serta peraturan setempat.

Dengan ini, etnik Cina hendaklah menguasai bahasa Melayu dan memahami budaya Melayu. Ini sangat penting bukan sahaja agar mereka dapat berfungsi dengan baik tetapi untuk tinggal di bumi Melayu-Islam ini, setelah berakhirnya penjajajahan Inggeris yang membawa mereka ke negara ini.

KEKAL NAMA BAHASA MELAYU

Seperkara yang utama pada dasar bahasa kita ialah nama bahasa Melayu itu yang tidak boleh digantikan dengan yang lain, sama ada secara tidak formal atau formal. Ini kerana nama itu sudah termaktub dalam perundangan negara, mempunyai wibawa perundangan yang absah.
Ini berbeza dengan nama bahasa Malaysia yang wujud secara tidak formal dan tidak pun mengikat dari segi undang-undang di negara ini. Justeru penggunaan nama bahasa Malaysia sama sekali tidak sah apabila digunakan dalam majlis formal dan rasmi.

Tidak dapat dinafikan etnik Cina lebih senang dengan nama bahasa Malaysia. Ini kerana membawa konotasi bahasa milik seluruh rakyat.Hal ini benar dari satu sudut, kerana sepatutnya ia mampu memperlihatkan penerimaan bahasa kebangsaan dalam kalangan etnik Cina dengan lebih jelas dan tulus.

Namun keadaannya sama sahaja, yakni bahasa Malaysia walaupun sebagai nama baharu lagi neutral, tidak dapat pun mengubah tingkah laku etnik Cina agar lebih positif terhadap bahasa Melayu.

Dengan kata lain, sikap mereka terhadap bahasa Melayu dan etnik Melayu sebagai pemiliknya, tidak banyak pun berubah sebaliknya sama sahaja, malah bertambah buruk kebelakangan ini.

Dasar bahasa negara sememangnya memberi kelonggaran, malah keistimewaan tertentu kepada bahasa Mandarin walaupun berstatus vernakular, termasuk dalam ranah kenegaraan. Perkara ini jelas melalui kebenaran pengoperasian sekolah aliran Mandarin di bawah naungan kerajaan, sama ada di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mahupun Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. Malah, kewujudan Sekolah Menengah Persendirian Cina turut dibenarkan dan menerima sokongan dana kerajaan dari semasa ke semasa.

Dengan keistimewaan sebegini lumayan, etnik Cina sepatutnya berterima kasih kepada etnik Melayu yang bukan sahaja sangat bertimbang rasa agar warisan Cina mereka itu boleh terus kekal di luar tanah asal China malah amat bermurah hati untuk membenarkan pendidikan Cina berkembang pesat, selain memastikan kebajikan etnik Cina selalu dijaga dengan adilnya.

Hakikatnya, kedudukan dan ruang yang dinikmati bahasa Mandarin di negara ini sudah memadai, malah jauh lebih luas berbanding di kebanyakan negara lain yang turut didiami komuniti Cina. Justeru, kesedaran dan sikap sederhana amat penting agar tuntutan tidak melampaui batas.

Dalam hal ini, wajar dihormati hak dan keutamaan kelompok majoriti, selaras dengan realiti sebagai komuniti minoriti yang hidup dan bermastautin di bumi orang lain.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×