BANGKOK: Tentera Thailand memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menyekat eksport bahan api ke Kemboja ketika pertempuran antara kedua-dua negara terus memuncak.
Perkara itu diumumkan dua hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata baharu.
Negara jiran Asia Tenggara itu beberapa kali bertempur sepanjang tahun ini sejak seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden pertempuran kecil pada Mei lalu.
Ia sekali gus mencetuskan semula konflik yang menyebabkan ratusan ribu penduduk di kedua-dua belah sempadan terpaksa berpindah.
Komander tentera Thailand kini membincangkan kemungkinan menyekat eksport bahan api ke Kemboja, termasuk mengarahkan tentera laut supaya lebih berwaspada terhadap kapal yang membawa bekalan strategik serta mengklasifikasikan zon maritim berhampiran pelabuhan Kemboja sebagai kawasan berisiko tinggi.
“Setakat ini, tiada arahan rasmi dikeluarkan berhubung langkah-langkah ini. Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat keselamatan pada Isnin,” kata penolong jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Kapten Nara Khunkothom.
Kementerian Tenaga Thailand pada Jumaat memaklumkan sudah menghentikan eksport minyak ke Kemboja sejak Jun.
Pada tahun lalu, Thailand mengeksport sebanyak 2.2 bilion liter bahan api ke Kemboja, menurut data kementerian berkenaan.
Kemboja menuduh Thailand menyerang infrastruktur awam, termasuk menggunakan jet pejuang dan melakukan serangan tembakan di kawasan orang awam. Thailand bagaimanapun menegaskan pihaknya hanya menyasarkan sasaran ketenteraan.
Thailand turut mengumumkan perintah berkurung di wilayah Trat, di tenggara negara itu pada Ahad ketika pertempuran berterusan sepanjang 817 kilometer sempadan kedua-dua negara.
Seorang anggota tentera dan seorang orang awam terbunuh akibat serangan roket BM-21 yang dilepaskan oleh Kemboja pada Ahad, menurut pihak berkuasa Thailand.
Menurut pihak berkuasa Thailand, sekurang-kurangnya 16 anggota tentera dan 10 orang awam terbunuh, manakala ratusan lagi cedera dalam pusingan terbaharu pertempuran yang bermula Isnin lalu, dengan seramai 258,626 orang awam terpaksa berpindah.
Kemboja pula tidak melaporkan sebarang kematian atau kecederaan baharu pada Ahad. Menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, 74 cedera dan 394,706 penduduk terpaksa berpindah sejak minggu lalu.
Tentera Thailand pada Sabtu memaklumkan pasukannya memusnahkan sebuah jambatan yang digunakan Kemboja untuk menghantar senjata berat dan peralatan lain ke kawasan berkenaan, selain melancarkan operasi menyasarkan artileri yang ditempatkan lebih awal di wilayah pesisir Koh Kong, Kemboja.
“Secara keseluruhan, pertempuran masih berterusan,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri pada sidang media di Bangkok walaupun Kemboja sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk melaksanakan gencatan senjata pada Sabtu. -AGENSI










