UK cadang jawab peperiksaan GCSE guna komputer

UK cadang jawab peperiksaan GCSE guna komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebahagian peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (GCSE) dan peringkat lanjutan A-level di United Kingdom (UK) mungkin dilaksanakan menggunakan komputer riba seawal tahun 2030.

Tindakan itu susulan aduan pelajar yang mengalami keletihan menulis kerana kekuatan otot tangan semakin berkurangan.

Cadangan itu dikemukakan oleh badan pemantau peperiksaan negara, Ofqual kini melancarkan perundingan awam selama tiga bulan bagi meneliti pelaksanaan penilaian berasaskan skrin, selaras dengan perubahan tabiat pembelajaran pelajar yang semakin bergantung kepada papan kekunci dan teknologi digital.

Ketua Pengawal Selia Ofqual, Ian Bauckham berkata, ramai pelajar mengakui mereka jarang menulis dengan tangan sehingga menyebabkan tulisan tangan menjadi lemah dan tidak mampu memegang pen dalam tempoh yang lama, sekali gus menjejaskan prestasi dalam peperiksaan bertulis tradisional.

Menurut cadangan itu, peperiksaan berasaskan skrin hanya akan melibatkan mata pelajaran dengan bilangan calon yang lebih kecil, manakala subjek teras seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Sejarah dan Geografi tidak akan terlibat buat masa ini bagi memastikan kestabilan dan kesaksamaan sistem peperiksaan.

Namun, cadangan tersebut menimbulkan kebimbangan berhubung keadilan pelaksanaannya berikutan jurang keupayaan teknologi antara sekolah, selain risiko ancaman keselamatan siber dan kegagalan teknikal, dengan Ofqual menegaskan pelajar tidak dibenarkan menggunakan peranti peribadi.

Menteri Pendidikan Britain, Bridget Phillipson berkata, penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan mampu membawa manfaat besar, termasuk kepada pelajar berkeperluan khas, namun sebarang perubahan perlu dilaksanakan secara berperingkat, terkawal dan adil bagi mengekalkan integriti peperiksaan.

Jika diluluskan, sebanyak lapan peperiksaan baharu GCSE, AS atau A-level dengan sekurang-kurangnya satu komponen digital boleh diperkenalkan, dengan pelaksanaan awal peperiksaan berasaskan skrin dijangka bermula pada tahun 2030.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×