Saintis guna Ozempic turunkan berat kucing obes

Saintis guna Ozempic turunkan berat kucing obes

RAWATAN itu menggunakan ubat baharu dikenali OKV-119 yang direka khusus untuk haiwan peliharaan seperti kucing. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Ubat suntikan penurunan berat badan yang popular dalam kalangan manusia seperti Ozempic berkemungkinan digunakan pada kucing, apabila saintis mula menguji rawatan khas bagi membantu haiwan peliharaan itu hidup lebih lama dan sihat.

Syarikat pembangunan ubat berpangkalan di San Francisco, OKAVA Pharmaceuticals mengumumkan kucing pertama sudah menerima dos rawatan baharu penurunan berat badan, sekali gus menandakan permulaan ujian klinikal MEOW-1 (ManagEment of OverWeight) yang menyasarkan obesiti kucing.

Rawatan tersebut menggunakan ubat baharu dikenali sebagai OKV-119, iaitu sejenis agonis GLP-1 yang direka khusus untuk haiwan peliharaan, berbeza daripada Ozempic dan Wegovy yang mengandungi semaglutide untuk manusia.

Tidak seperti suntikan mingguan bagi manusia, kucing akan menerima implan boleh suntik bersaiz sedikit lebih besar daripada mikrocip yang diletakkan di bawah kulit dan mampu membekalkan dos ubat secara berterusan sehingga enam bulan.

Ubat GLP-1 berfungsi dengan meniru hormon semula jadi dalam badan yang mengurangkan selera makan, melambatkan proses pencernaan dan memberikan rasa kenyang, sekali gus membantu penurunan berat badan, namun bukti klinikal keberkesanannya terhadap kucing masih dalam kajian.

Dalam fasa awal percubaan, lebih 50 ekor kucing dijangka terlibat, dengan dua per tiga daripadanya menerima implan ubat, sebelum kajian lebih besar dijalankan dan permohonan kelulusan dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Penyelidikan sebelum ini mendapati hampir separuh daripada kucing peliharaan di United Kingdom (UK) mengalami obesiti, sekali gus meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes dan kanser.

Namun, pakar veterinar mengingatkan penggunaan ubat penahan selera makan perlu dipantau rapi bagi mengelakkan kesan sampingan dan perubahan tingkah laku haiwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×