DI sebalik jubah dan skrol, timbul persoalan penting dalam suasana integriti politik dan institusi sering dipersoalkan, adakah universiti masih berdiri teguh sebagai pusat amanah ilmu atau sudah terpalit dengan krisis kepercayaan dan integriti yang sama?
Lebih mendalam lagi, integriti universiti bukan sekadar soal prosedur, peraturan atau pengurusan kewangan tetapi soal integriti ilmu itu sendiri sebaliknya sejauh mana ilmu yang diajar, dikaji dan disebarkan benar-benar diamalkan dan diterjemahkan ke dalam tindakan yang bermakna.
Kebimbangan terhadap integriti universiti hari ini bukan sekadar persepsi atau gosip di media sosial. Laporan dan tindakan penguatkuasaan menunjukkan krisis ini nyata.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan beberapa tahun kebelakangan ini puluhan kakitangan universiti awam dan swasta ditahan dan didakwa atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan kewangan dengan nilai melibatkan jutaan ringgit. Kes-kes ini membuktikan gejala yang selama ini dikaitkan dengan agensi kerajaan dan politik menembusi pagar kampus yang sepatutnya menjadi benteng integriti.
Lebih menghakis kepercayaan masyarakat adalah dapatan Laporan Ketua Audit Negara terhadap sebuah universiti penyelidikan ternama, yang mendedahkan kelemahan serius dalam proses perolehan melibatkan tender bernilai puluhan juta ringgit.
Apabila sebuah institusi yang mengajar kursus etika, tadbir urus dan akauntabiliti sendiri terpalit isu sebegini, persoalan yang timbul bukan sekadar kelemahan prosedur tetapi hakikat integriti ilmu runtuh. Ilmu tentang amanah, keadilan serta tatakelola hanya menjadi bahan kuliah dan kertas ujian tetapi tidak memandu tindakan dan keputusan yang dibuat di lapangan.
Di peringkat mahasiswa pula, laporan tentang salah laku semasa peperiksaan, plagiarisme, pemalsuan dokumen, buli, gangguan seksual dan penyalahgunaan dadah menunjukkan retaknya integriti bermula seawal pembentukan insan.
Mahasiswa mempelajari konsep amanah dan adab tetapi sebahagiannya sanggup meniru bulat-bulat bahan daripada internet atau mencari ‘jalan pintas’ demi kepentingan diri sendiri. Ini menandakan jurang yang besar antara apa yang diketahui dan apa yang diamalkan. Krisis integriti universiti, hakikatnya, adalah krisis integriti ilmu. Kini, ilmu tidak lagi diangkat sebagai amanah yang mesti ditaati dalam tindakan.
Kebimbangan terhadap isu integriti sampai ke peringkat tertinggi kepimpinan negara. Titah Raja dan sultan mengenai pendidikan harus dibaca sebagai seruan untuk memulihkan integriti ilmu, bukan sekadar peringatan umum.
Dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan sistem pendidikan negara memerlukan pembaharuan menyeluruh dengan tumpuan kepada nilai kemanusiaan, moral, kawalan emosi dan kesedaran undang-undang dalam kalangan pelajar.
Baginda mengingatkan sekolah dan universiti harus melalui revolusi pendidikan yang menekankan pembentukan sahsiah, bukan sekadar pencapaian akademik, terutamanya selepas beberapa insiden jenayah dan gejala moral melibatkan pelajar dan graduan.
Sementara Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula berulang kali menegur budaya pendidikan yang terlalu menekankan angka, gred dan ranking sehingga mengabaikan misi melahirkan insan beradab.
Baginda bertitah, setiap insiden buli atau keganasan di institusi pendidikan dianggap sebagai tanda kegagalan memahami tujuan pendidikan sebenar sebagai pembinaan manusia, bukan sekadar kilang sijil.
Titah-titah ini memberi isyarat jelas apabila ilmu tidak membentuk akhlak, integritinya telah tercalar.
Teguran juga datang daripada Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Majlis Konvokesyen ke-53 UKM. Baginda menekankan pelantikan pengurusan tertinggi universiti mesti berasaskan kelayakan, integriti dan rasa tanggungjawab tinggi.
Tuanku Muhriz juga mengingatkan salah laku dalam proses perolehan bukan sahaja menjejaskan kewangan tetapi turut merendahkan mutu perkhidmatan, menjejaskan latihan pelajar dan menggugat kredibiliti universiti.
Nada raja-raja ini sejajar dengan peringatan kepimpinan politik. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berulang kali menekankan antara punca utama kecelaruan hari ini ialah ramai orang memperoleh ilmu tetapi kehilangan nilai dan akhlak.
Beliau menegaskan pendidikan harus kembali menyatukan ilmu dengan adab dan rasa tanggungjawab.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pula menekankan keperluan memelihara integriti intelektual, iaitu kesetiaan ahli akademik kepada fakta, bukti dan etika ilmiah sambil menjamin ruang bersuara yang berpandukan penyelidikan.
Persoalan besarnya, jika raja-raja sebagai canselor universiti, perdana menteri dan menteri semuanya sehaluan dalam bahasa nilai dan integriti, mengapa krisis ini masih berlarutan dari dewan kuliah hingga ke bilik mesyuarat lembaga pengarah?
Jawapannya terletak pada akar masalah iaitu runtuhnya integriti ilmu. Apabila yang diketahui tidak diikuti serta yang diajar tidak diterjemahkan dalam tindakan, maka hipokrasi dan ketidakjujuran menjadi realiti sehari-hari.
KEMBALI PADA ASAS
Epistemologi tauhidik menawarkan jalan pemulihan yang kukuh. Secara mudah, ia merujuk kepada cara kita melihat ilmu, dari mana ilmu datang, bagaimana menilai kebenarannya dan untuk apa ilmu digunakan.
Integriti ilmu terhasil apabila ilmu difahami sebagai amanah yang mesti diamalkan. Apabila ilmu dipisahkan daripada amal, yang tinggal hanyalah retorik. Manusia boleh bercakap tentang integriti tetapi tidak merasa berdosa apabila mengkhianatinya.
Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu datang daripada Allah dan akan dipertanggungjawabkan di sisi-Nya. Ilmu tidak bebas nilai sebaliknya mesti mengarah kepada kebenaran, keadilan dan kemaslahatan.
Dalam kerangka ini, integriti ilmu bermakna kesetiaan kepada kebenaran, walaupun tidak popular dan keberanian menegur salah laku kerana amanah ilmu lebih tinggi daripada keselesaan diri sendiri.
Jika epistemologi universiti benar-benar mengamalkan prinsip tauhidik, kesannya akan jelas kelihatan. Pemimpin universiti bukan sekadar berbicara tentang integriti sebagai konsep akademik tetapi menjadikannya asas kepada semua keputusan.
Pensyarah bukan hanya mengajar etika penyelidikan tetapi menolak pemalsuan data. Pentadbir pula bukan sekadar menyebut tadbir urus baik dalam ucapan tetapi memastikan proses perolehan dan pelantikan dijalankan secara telus, walaupun menyentuh kepentingan pihak tertentu.
Epistemologi tauhidik juga menuntut universiti menyusun semula keutamaan. Kurikulum tidak boleh hanya sarat ilmu teknikal, sementara perbincangan tentang falsafah ilmu, etika dan tanggungjawab sosial dianggap sampingan.
Penilaian penyelidikan tidak boleh hanya bergantung kepada indeks dan sitasi tetapi pada sejauh mana sumbangannya kepada kehidupan yang lebih adil dan sejahtera.
Budaya kampus mesti memberi ruang kepada warga untuk menegur dan memperbetul kerana mempertahankan kebenaran adalah bentuk tertinggi integriti ilmu.
Akhirnya, integriti universiti hanya akan pulih apabila integriti ilmu itu sendiri dipulihkan. Apabila apa yang diajar, ditulis dan diucapkan benar-benar diterjemahkan dalam keputusan dan tindakan.
Universiti hanya akan bermaruah apabila berani mempertahankan kebenaran, walaupun tidak popular atau menguntungkan mana-mana pihak.
Epistemologi tauhidik mengikat semula ilmu dengan amal, membuka ruang untuk universiti bangkit kembali sebagai pusat integriti sejati, bukan sekadar pentas konvokesyen yang meriah tetapi kosong makna.-UTUSAN
Profesor Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT).










