SEJAK zaman sekolah, saya suka membaca kamus. Bukan sekadar menggunakannya untuk menyemak makna perkataan seperti lazim dilakukan tetapi membacanya untuk belajar perkataan baharu.
Apabila terjumpa perkataan dan frasa baharu dalam kamus, saya akan menandakannya. Selain bertindak sebagai tesaurus untuk mempelajari perkataan seerti, kamus juga membantu mengenali istilah baharu.
Maka, saya dapat menggunakan kosa kata yang lebih kaya dalam penulisan karangan di sekolah. Seterusnya, apabila menulis cerpen, dapat pula membantu memperkaya gaya bahasa dan gaya penulisan.
Dalam penulisan cerpen dan rencana, saya sentiasa berusaha menggunakan kosa kata dan gaya bahasa yang mudah difahami orang ramai.
Pada masa sama, saya berusaha menyelitkan istilah baharu untuk membantu pembaca memperkaya kosa kata mereka pula.
Berdasarkan pengalaman, membaca kamus sangat unik kerana kita tidak tahu apa yang akan dijumpai. Tentulah tiada plot dan watak seperti dalam sebuah fiksyen. Tidak ada juga isi-isi yang perlu dihurai seperti rencana.
Sebaliknya, kita mampu menyelak mana-mana halaman pada kamus dan tidak mustahil akan melihat perkataan baharu yang tidak kita ketahui. Malah, mungkin bertemu perkataan yang pernah dibaca tetapi tidak tahu maknanya selama ini.
Kita juga akan tiba-tiba sedar ejaan ‘merbahaya’ sepatutnya ‘berbahaya’ manakala ‘bertapa’ dan ‘betapa’ membawa makna jauh berbeza. Malah, kamus juga boleh membimbing cara penggunaan kata sendi ‘dari’, ‘daripada’, ‘di’ dan ‘dalam’ dengan betul.
Satu lagi aspek yang sentiasa menarik minat saya untuk membaca kamus ialah ilmu berkaitan etimologi atau asal usul dan perkembangan sesuatu perkataan.
Walaupun belajar jurusan Sains di sekolah, saya amat meminati mata pelajaran Sejarah. Pada 1980-an, hanya pelajar aliran Sastera mengambil subjek Sejarah.
Saya ada membicarakan dalam ruangan ini tentang pengaruh bahasa Sanskrit (29 Oktober 2022 dan 17 Disember 2022), Tamil (18 September 2021), Belanda (19 Oktober 2024) serta Portugis (26 Oktober 2024). Rencana khusus tentang kamus etimologi pula tersiar pada 30 November 2024.
Sesiapa yang gemar membaca kamus pasti sedar betapa seronok mendalami bukan hanya makna tetapi juga asal usul sesuatu perkataan sehingga ia menyerap masuk ke dalam bahasa yang kita gunakan sekarang. Maka, kita lebih memahami istilah dan frasa itu, lalu mampu menggunakannya dengan lebih bermakna.
Menerusi kenyataan media pada 3 Disember 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengakui hakikat Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan terbitannya mengalami keterbatasan bilangan kata masukan dan perkataan yang memerlukan huraian panjang tidak dimasukkan.
Sekadar contoh, kamus terbitan DBP biasanya memberikan makna ‘niaga’ sebagai ‘dagang, jual beli’ manakala ‘berniaga’ pula ‘berdagang, berjual beli’.
Pakar bahasa dan penyusun kamus menganggap ‘ber’ sebagai awalan atau imbuhan.
Sebenarnya, dari aspek etimologi, istilah ‘berniaga’ yang kita gunakan kini berasal daripada ‘vaniga’ atau ‘vanika’ dalam bahasa Sanskrit, Hindi, Kannada dan beberapa bahasa lain di negara India. Kemudian, ia menyerap ke dalam kosa kata Portugis sebagai ‘veniaga’ sebelum menjadi ‘berniaga’.
Slogan ‘Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka’ yang diterjemah secara langsung daripada bahasa Arab membantu ramai rakyat Malaysia belajar perkataan ‘segara’ bagi laut dan lautan. Itulah juga makna diberi dalam Kamus Dewan. Manakala perkataan itu tidak hadir dalam Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan.
Buku Katha Sarit Sagara (2023) ialah penceritaan semula sebahagian kisah dalam teks Sanskrit dan Prakrit. Judul buku itu diterjemah sebagai Oceon of the Streams of Story oleh C.H. Tawney. Tiga perkataan digunakan ialah cerita (katha), sungai (sarit) dan sagara (lautan).
Kalau kita hanya tahu ‘segara’ bermakna ‘laut, lautan’, maka hilanglah nikmat mengetahui asal usul serta kisah menarik di sebaliknya. Sayangnya, kamus terbitan DBP tidak membuka peluang itu kepada pembaca.
Saya bernasib baik kerana menguasai beberapa bahasa, lalu berpeluang mengakses maklumat dari pelbagai sumber.
Satu lagi contoh mudah ialah istilah ‘syurga’ dan ‘neraka’ yang tidak asing dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Bagi DBP, syurga merujuk kepada alam akhirat (tempat roh manusia yang baik-baik dan banyak membuat pahala ketika di dunia), tempat balasan pahala dan tempat mengecap nikmat Tuhan yang kekal. Manakala neraka merujuk alam akhirat tempat orang yang berdosa diseksa.
Orang Melayu pula kini lebih selesa menggunakan istilah Arab ‘jannah’ dan ‘jahannam’ manakala perkataan ‘syurga’ dan ‘neraka’ selalu kita dengar dalam filem Hindi. Hal ini tidak menghairankan kerana kedua-duanya diambil daripada ‘svarga’ dan ‘naraka’ dalam Sanskrit.
Maka, dalam kumpulan fiksyen Sebelas Amanat Swamiji (2025), saya menggunakan istilah ‘svarga’ dan ‘naraka’ dengan harapan pembaca berpeluang menikmati unsur etimologi dan belajar asal usul kata.
Satu lagi contoh menarik ialah penggunaan ‘kerana’ sebagai kata hubung yang menerangkan punca atau sebab berlakunya sesuatu. Demikian penerangan dalam kamus manakala tidak diterangkan asal usul dalam kamus etimologi terbitan DBP.
Sebenarnya, ‘kerana’ berasal daripada ‘karana’ (Sanskrit) yang sangat berkait dengan konsep sebab-akibat dalam teks ‘Natyasastra’ dan merujuk juga cara mencapai sesuatu dalam ‘Vyakarana’ (tatabahasa Sanskrit).
Kemudian, ada pula kaitan rapat dengan ajaran agama Hindu, falsafah ‘Nyaya’, perubatan ayurveda bagi gigitan ular dan pelbagai aspek lain dalam budaya India. Malangnya, segala aspek etimologi ini tidak dimasukkan dalam kamus di negara kita.
Natijahnya, tidak hairanlah pembelajaran bahasa kebangsaan menjadi terlalu hambar dan membosankan. Bahasa Melayu seolah-olah tidak bernyawa kerana generasi muda tidak diberitahu asal usul kosa kata.
Cubalah ambil inisiatif sendiri dan anda akan menyedari bertapa menarik dan seronok menyelami etimologi bahasa sambil membaca kamus yang berwibawa.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










