MKN digesa jelas punca tangguh kongres PKR - Utusan Malaysia

MKN digesa jelas punca tangguh kongres PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menangguhkan Kongres Nasional Tahunan Keadilan Ke-15 yang sepatutnya berakhir hari ini menimbulkan persoalan.

Ini berikutan orang ramai menganggap penangguhan itu bermotif politik bagi menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam penggulungan kongres berkenaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil berkata, tindakan MKN bercanggah dengan surat bertarikh 27 Mei lalu yang menyatakan tiada halangan terhadap penganjuran kongres berkenaan diadakan secara dalam talian sepenuhnya.

“Kongres adalah badan pembuat dasar tertinggi parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Di sini, mungkin ada pihak yang risau tentang keputusan yang dibawa oleh Keadilan.

“Setahu saya, setakat ini demokrasi masih berfungsi namun semua perancangan terpaksa ditangguh pelaksanaannya. Lagipun, persiapan semua sayap parti dan perwakilan menyertai kongres secara dalam talian dari rumah. Tak berkumpul pun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam, Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan tergempar memaklumkan kongres parti tidak dapat diteruskan berikutan MKN menangguhkannya pada saat akhir seperti yang tertera pada surat bertarikh 4 Jun pukul 6.21 petang.

Kongres PKR berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin dengan ucapan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diikuti ucapan dasar Ketua Wanita, Datuk Fuziah Salleh manakala Kongres Angkatan Muda, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada hari kedua semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berasa pelik dan terkejut dengan keputusan MKN yang dilihat ‘menghalang’ pelaksanaan kongres parti.

“Nak kata motif politik, saya pun tak berani tapi orang ramai boleh menilainya. Mungkin ada teknologi baharu yang menemukan virus Covid-19 boleh menyerang manusia di alam maya,” katanya.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pula berkata: “Kita akur dengan keputusan parti tapi akan semak dari segi kepatuhan terhadap peraturan berdasarkan alasan diberi MKN.” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×