TUGAS dan ketegasan sebagai Ketua Agama Islam serta adat dan istiadat Melayu tidak membuatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminggirkan tanggungjawab memastikan kemakmuran negeri ini.
Malah, pembangunan dan manfaatnya dipastikan dapat dinikmati segenap lapisan rakyat dalam pelbagai aspek mengikut latar belakang dan usaha-usaha yang dilakukan untuk meraih peluang-peluang hasil kemakmuran negeri ini.
Di bawah naungan raja berjiwa rakyat, Selangor terus berdiri sebagai negeri termaju di Malaysia dengan rekod pembangunan yang konsisten sepanjang tahun 2024 hingga 2025.
URUS TADBIR BERINTEGRITI
Di sebalik angka pelaburan yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang stabil serta projek infrastruktur berskala besar, terserlah peranan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai tonggak kestabilan, penyatu masyarakat dan penaung kemajuan negeri.
Keprihatinan baginda terhadap pentadbiran berintegriti dan kesejahteraan rakyat menjadi asas yang memandu hala tuju Selangor sepanjang tahun ini.
Peranan tuanku bukan sekadar simbolik dalam kerangka perlembagaan negeri. Setiap titah menyentuh urus tadbir, perpaduan dan nilai budi memberi kesan langsung terhadap daya saing Selangor.
Tahun ini, kehadiran tuanku dalam pelbagai taklimat keselamatan, perkembangan ekonomi dan isu-isu rakyat memperlihatkan komitmen baginda memastikan dasar kerajaan negeri berada pada landasan yang memelihara kepentingan umum.
Ketegasan Sultan Sharafuddin terhadap isu integriti dan tatakelola, termasuk peringatan agar pemimpin negeri menjauhi korupsi, menjadi nadi kepada keyakinan pelabur.
KEMAKMURAN EKONOMI, KEMAMPANAN PEMBANGUNAN
Seiring dengan itu, Selangor mencatat peningkatan pelaburan bernilai berbilion ringgit dalam sektor aeroangkasa, logistik, teknologi digital dan pembuatan berimpak tinggi.
Pembangunan itu tidak hanya meningkatkan ekonomi, bahkan membuka ribuan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
Sokongan tuanku terhadap pembangunan lestari turut memperkukuh agenda negeri dalam menangani risiko perubahan iklim.
Beberapa projek tebatan banjir mega dimajukan tahun ini termasuk jajaran Sungai Klang, Sungai Langat dan sistem tadahan baharu dipercepatkan hasil keprihatinan baginda terhadap keselamatan penduduk.
Titah Sultan Sharafuddin agar perancangan bandar lebih mesra alam memberi impak langsung kepada pendekatan Selangor membangunkan kawasan baharu seperti Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
BENTENG KEPADA SEMUA KAUM
Dalam aspek kesejahteraan rakyat, peranan baginda sebagai Ketua Agama Islam memberi dimensi tambahan kepada kemakmuran negeri.
Pemantauan tuanku terhadap institusi zakat, wakaf dan pendidikan Islam menjadikan Selangor antara negeri paling cemerlang dari segi pengurusan sosial, bantuan kebajikan dan pembangunan madani.
Ini termasuk program rumah mampu milik, bantuan kos sara hidup dan sokongan kepada anak muda serta golongan miskin bandar.
Dari sudut hubungan antara kaum, tuanku terus memainkan peranan menyatukan rakyat melalui titah yang menolak ekstremisme dan memupuk toleransi.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin ke majlis-majlis bersama masyarakat pelbagai kaum sepanjang tahun mencerminkan pendekatan kepimpinan yang inklusif, selari dengan realiti Selangor sebagai negeri paling majmuk. Faktor ini menjadi asas kestabilan sosial, sekali gus memperkukuh kekuatan ekonomi negeri.
PRIHATIN DALAM PENDIDIKAN
Dalam sektor pendidikan dan bakat, baginda turut menyatakan sokongan terhadap pembangunan Selangor sebagai hab Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan digital. Tahun ini, beberapa institusi TVET dinaik taraf, manakala pelaburan dalam hab data dan pembangunan bakat teknologi melonjak tinggi.
Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat penyelidikan, inovasi dan ekonomi digital negara.
Usaha memperkukuh jaringan pengangkutan turut menyerlah tahun ini, termasuk perkembangan projek Transit Aliran Ringan (LRT), sistem bas pintar dan naik taraf jalan utama.
Selaras titah baginda agar kemudahan rakyat sentiasa didahulukan, projek-projek ini memperbaiki mobiliti harian dan mengurangkan beban rakyat, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun.
Keseluruhannya, tahun ini mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan tuanku dengan kemajuan Selangor.
Tatkala kerajaan negeri melaksanakan dasar pembangunan, tuanku berperanan sebagai penjaga nilai, prinsip dan identiti negeri melengkapkan ekosistem pentadbiran yang stabil dan berkesan.
Gabungan ini menjadikan Selangor terus unggul sebagai negeri maju yang makmur, berdaya saing dan harmoni.
MEMBERI TELADAN KEPADA RAKYAT
Disamping tanggungjawab memastikan pembangunan dan kemajuan negeri, Sultan Sharafuddin dilihat tidak lupa mengingatkan secara tidak langsung tentang adat dan istiadat Melayu yang dilakukan baginda.
Ia dilihat bagaimana tertib, teratur dan ringkas namun sarat dengan adat yang tidak lapuk dek zaman pada istiadat pernikahan dan persandingan anakanda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan isteri Datin Paduka Seri Afza Fadini Abdul Aziz pada Oktober lalu.
Selain itu, menjelang sambutan keputeraan Sultan Sharafuddin, baginda meneruskan tradisi seperti mana dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini seperti menziarahi makam ayahanda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Makam Diraja Klang.
Kemudian, baginda berkenan berangkat ke Istiadat Menyembah Air Doa Selamat bersama Tengku Amir Shah di Istana Bukit Kayangan.
Pada istiadat itu, Air Doa Selamat dipersembahkan oleh Tengku Panglima Besar, Tengku Abdul Samad Shah yang disudahi dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir.
Kelembutan yang disulam ketegasan dalam masa sama tersirat nasihat dan teladan antara perwatakan ditunjukkan Sultan Sharafuddin yang diambil hikmahnya oleh seluruh rakyat. Selamat menyambut hari keputeraan ke-80 tuanku. Daulat tuanku!-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.










