Insentif gula bersifat sementara hingga mekanisme baharu

Insentif gula bersifat sementara hingga mekanisme baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian insentif khas industri bagi gula putih bertapis kepada syarikat gula tempatan adalah bersifat sementara sehingga mekanisme penetapan harga lebih wajar dapat dimuktamadkan.

Kementerian Kewangan berkata, insentif khas sehingga maksimum 42,000 metrik tan sebulan itu diberikan bagi memastikan bekalan gula mencukupi di pasaran pada harga kawalan yang ditetapkan secara berterusan.

Katanya, pengekalan harga gula putih bertapis pek satu kilogram (kg) pada RM2.85 turut menjadi usaha kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup supaya tidak membebankan pengguna.

“Bagaimanapun, pemberian insentif khas ini adalah bersifat sementara sehingga kerajaan dapat menambah baik kepada mekanisme penetapan harga yang wajar bagi gula putih bertapis.

“Kerajaan kini giat menjalankan libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk kementerian berkaitan, industri dan wakil pengguna bagi mengkaji secara menyeluruh isu serta hala tuju berkaitan gula putih bertapis termasuk mekanisme paling sesuai dalam menentukan harga pada masa akan datang,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Ia bagi menjawab pertanyaan Senator Che Alias Hamid yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan terus mengekalkan subsidi berkaitan gula memandangkan kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes terus meningkat dan dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×