Misi badminton lebur rekod dua dekad

Misi badminton lebur rekod dua dekad

Pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi sandaran Malaysia pada final berpasukan lelaki menentang Indonesia di Bangkok, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bukan sahaja menjadi buruan skuad badminton berpasukan lelaki negara, malah rekod dua dekad tanpa emas dalam acara itu di Sukan SEA juga menjadi sasaran untuk dileburkan.

Prestasi skuad negara kini terbaik apabila tidak kalah dalam laluan ke final termasuk mudah membenam tuan rumah 3-1 dalam aksi separuh akhir di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, kelmarin.

Berdepan Indonesia di final hari ini, pastinya laluan sukar menanti skuad negara, namun dengan kekuatan sektor beregu, ia sedikit sebanyak akan membantu kem negara untuk melakar sejarah.

Malaysia dijangka menurunkan Leong Jun Hao untuk perseorangan pertama diikuti beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Justin Hoh (perseorangan), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu) dan Aidil Sholeh (perseorangan).

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui kekuatan Malaysia adalah dari sektor beregu dan beliau akan memastikan anak buahnya mampu menyumbang mata di final.

“Ya, memang pasukan Malaysia kuat dalam acara beregu, pertama mahupun kedua. Tetapi memang ada sedikit tekanan buat pemain, itu biasa ketika pertandingan dan tidak boleh dielak.

“Apa yang penting, semua pemain perlu fokus kepada ‘gameplay’ sendiri. Berdepan Indonesia di pentas final, satu tugas sukar kerana lawan lebih seimbang, baik dari pemain perseorangan mahupun beregu.

“Tetapi, ini adalah adat pertandingan dalam mana-mana kejohanan, apa-apa pun boleh terjadi sebab negara-negara yang menjadi tumpuan biasanya ada sedikit tekanan. Apa yang penting, pemain kena tenang,” katanya.

Ditanya tentang prestasi Aaron-Wooi Yik yang kembali bergandingan selepas hampir sebulan tanpa kejohanan, jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata, prestasi beregu No.2 dunia itu belum di tahap terbaik.

“Saya rasa penampilan mereka belum menyerlah, belum terbaik. Dalam aksi separuh akhir mereka menang, tetapi saya rasa mereka belum mempamerkan aksi terbaik. Semoga di final nanti mereka boleh berikan lebih lagi,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara berpasukan ialah pada Sukan SEA 2005 di Manila yang mana pada aksi final ketika itu, skuad negara menumpaskan Indonesia 3-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×