BANGKOK: Thailand bersedia melancarkan operasi ketenteraan terhadap Kemboja bagi mempertahankan kedaulatan negara, menurut resolusi Majlis Keselamatan Negara (NSC) yang diumumkan Perdana Menterinya, Anutin Charnvirakul, dalam satu perutusan khas yang disiarkan di Televisyen Pool of Thailand.
Anutin berkata, sejak semalam, berlaku beberapa siri pertempuran bersenjata antara pasukan Thailand dan Kemboja di beberapa lokasi sepanjang sempadan.
Katanya, kerajaan memantau situasi dengan teliti dan mengarahkan semua agensi keselamatan menggembleng usaha penuh bagi melindungi penduduk serta mempertahankan sempadan negara mengikut undang-undang antarabangsa dan hak mempertahankan diri yang sah.
Menurutnya, NSC yang bermesyuarat awal Isnin memutuskan Thailand akan melaksanakan operasi ketenteraan mengikut keperluan berdasarkan keadaan di lapangan, selain mengambil langkah pertahanan tambahan sekiranya situasi memerlukan.
Beliau menegaskan kerajaan yakin sepenuhnya terhadap keupayaan Angkatan Tentera Thailand yang beroperasi dengan berhati-hati mengikut peraturan penggunaan kekerasan serta prinsip kemanusiaan.
Perdana Menteri itu turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk yang telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di beberapa wilayah sempadan.
mengarahkan semua agensi terbabit memberi tumpuan penuh terhadap penyediaan tempat tinggal, keselamatan, makanan, bekalan air bersih, rawatan perubatan dan segala bentuk bantuan kebajikan penting.
Bagi mengelakkan kegusaran awam dan penyebaran maklumat tidak sahih, orang ramai diminta mengikuti perkembangan hanya melalui saluran rasmi kerajaan.
Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar ditetapkan sebagai agensi utama penyampaian maklumat, manakala semua kenyataan berkaitan situasi sempadan akan diselaraskan bersama angkatan tentera dan agensi keselamatan.
Anutin menegaskan Thailand tidak pernah menjadi pihak yang memulakan konflik, namun tidak akan membiarkan sebarang pencabulan terhadap kedaulatannya.
Beliau berikrar kerajaan akan terus mengambil semua langkah perlu bagi melindungi keselamatan negara serta rakyatnya, sambil meminta orang ramai menaruh kepercayaan dan memberi sokongan moral kepada operasi ketenteraan yang sedang dijalankan.










