GAZA CITY: Hamas pada Sabtu menyatakan kesediaan untuk menyerahkan senjatanya di Semenanjung Gaza kepada pihak berkuasa Palestin yang mentadbir wilayah itu, dengan syarat pendudukan tentera Israel ditamatkan.
“Senjata kami berkait rapat dengan kewujudan pendudukan dan pencerobohan,” kata ketua perunding Hamas merangkap ketua Hamas di Gaza, Khalil Al-Hayya, dalam satu kenyataan.
“Jika pendudukan berakhir, senjata ini akan diletakkan di bawah kuasa negara,” katanya.
Apabila ditanya AFP untuk penjelasan, pejabat Hayya berkata beliau merujuk kepada sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
“Kami menerima penempatan pasukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pasukan pemisah yang bertugas memantau sempadan dan memastikan pematuhan gencatan senjata di Gaza,” tambah Hayya.
Ia sekali gus memberi isyarat penolakan kumpulan itu terhadap penempatan pasukan antarabangsa yang bertujuan melucutkan senjatanya.










