Di gelung pemodenan, masih ada warisan lama yang tetap teguh berdiri menjadi lambang ketelitian, kehalusan dan identiti bangsa.
Pembuat seni tekat selama 30 tahun, Mardziah Abu Kassim, 56, berkata, sulaman tradisional itu bukan hanya dijadikan sebagai minat tetapi tetapi nadi kehidupan yang mengalir dalam dirinya sejak kecil.
Berbekalkan kemahiran berharga yang diwarisi daripada ibunya lebih tiga dekad lalu, kini dialah antara pewaris yang terus menghidupkan seni tekat tradisional yang kian sukar ditemui dalam masyarakat ketika ini.
Sejak usia kanak-kanak, Mardziah sudah terbiasa melihat ibunya menyiapkan sulaman-sulaman tekat emas yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu.
“Melalui pemerhatian, latihan dan tunjuk ajar yang tidak putus daripada ibu, saya mengasah bakat sendiri dalam seni tekat lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KEKALKAN KAEDAH TRADISIONAL
Kaedah moden menggunakan mesin mampu menyiapkan tekat dalam hanya sehari, berbanding proses tradisional yang kadangkala memakan masa sehingga sebulan bergantung pada saiz tekat.
Namun, wanita ini tetap setia mengekalkan kehalusan teknik tradisional yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyangnya.
Katanya, proses seni tradisional tersebut hanya memerlukan jarum dan mempulur untuk menyulam corak tekat yang menarik dan sukar dihasilkan menggunakan mesin.
Baginya, hasil tekat asli mempunyai nilai yang jauh lebih tinggi kerana bukan sahaja cantik, malah mampu bertahan sangat lama.
Beliau masih menyimpan beberapa hasil tekat lama yang dihasilkan sejak zaman nenek dan ibunya lagi.
“Misalnya, tekat lama yang masih elok dalam simpanan saya. Ia dihasilkan sejak zaman nenek moyang dan diwarisi pula oleh ibu, kemudian saya dan masih utuh.
“Ini membuktikan tekat yang menggunakan teknik tradisional mempunyai kekuatan dan ketahanan tersendiri,” katanya.
Antara hasil yang sering dibuatnya iaitu corak fauna dan flora kemudian ditekat pada sama ada pada bantal, sarung tilam pengantin, tepak sirih mahupun kipas kain.
BERNILAI TINGGI
Hasil kemahiran dan ketekunannya memberikan rezeki yang mengalir sepanjang tahun.
Setiap musim cuti sekolah, tempahan meningkat memandangkan ramai pelanggan membuat persiapan majlis perkahwinan dan majlis menyambut cahaya mata.
Pendapatan yang diterima pula ada kalanya mencecah RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, malah kadang-kadang lebih tinggi jika menerima projek besar atau tempahan istimewa.
Antara kenangan paling manis dalam perjalanan seninya apabila terpilih menyiapkan projek tekat bagi hiasan pentarakan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang kini merupakan Sultan Terengganu.
Selain itu, dia juga turut ditawarkan membuat tekat bagi pameran di sebuah galeri.
Pada awalnya, dia berasa risau dan bimbang jika tidak mampu menyiapkan hasil kerja mengikut masa atau tidak mencapai kepuasan pelanggan.
Namun, berkat usaha gigih dan pengalaman bertahun-tahun, projek berprestij itu dapat disiapkan dengan penuh kebanggaan, sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai tukang tekat tradisional yang disegani.
Tekat semakin dlupai
Sebagai antara penggiat seni yang masih bertahan, Mardziah akui berasa kecewa melihat seni tekat semakin kurang digemari generasi muda.
Katanya, bagi kebanyakan orang, tekat tidak lagi dianggap keperluan atau nilai tradisi yang harus diteruskan.
Situasi itu mendorongnya untuk sentiasa membuka peluang kepada sesiapa sahaja belajar seni tekat, kerana baginya warisan tersebut tidak boleh dibiarkan lenyap begitu sahaja.-UTUSAN










