KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan untuk meminda fasal di bawah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang menjadi kebimbangan banyak pihak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya mengambil kira cadangan-cadangan daripada ahli Dewan Rakyat mengenai penambahbaikan dan pindaan terhadap RUU berkenaan.
Katanya, ia termasuk berkaitan keresahan ramai pihak mengenai komposisi penduduk di satu-satu kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar dan menaikkan nilai ambang persetujuan diseragamkan ke paras 80 peratus.
“KPKT juga cakna dengan keresahan ramai pihak berkaitan komposisi penduduk di satu-satu kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.
“Lanjutan daripada itu, KPKT akan mempertimbangkan untuk meminda fasal ini sewajarnya bagi menjamin demografi di kawasan terlibat, tertakluk perincian yang akan dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kor Ming berkata, pindaan itu akan memastikan maklumat demografi setempat di sesuatu kawasan projek pembaharuan semula bandar diambil kira oleh kedua-dua jawatankuasa eksekutif Persekutuan dan negeri.
“Ini supaya diuruskan dengan teratur bagi mengelakkan perubahan komposisi penduduk setempat yang drastik,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkenaan adakah KPKT akan meneruskan pembentangan RUU PSB dan apakah ada penambahbaikan.
Kor Ming berkata, RUU PSB merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam mewujudkan pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
“Ia bukan sekadar kerangka perundangan tetapi juga satu pendekatan holistik yang mengangkat prinsip rundingan, keadilan sosial dan hak pemilikan seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










