LIVERPOOL: Arne Slot berikrar terus berjuang sambil berkata perbualannya dengan pemilik Liverpool tidak berubah walaupun The Reds mengalami kemerosotan prestasi yang teruk.
Juara Liga Perdana Inggeris itu dibelasah 4-1 di Anfield oleh PSV Eindhoven dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu, kekalahan kesembilan mereka dalam 12 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Tempat duduk stadium mula kosong apabila para penyokong yang kecewa meninggalkan stadium beramai-ramai pada penghujung perlawanan.
Ini adalah rentetan prestasi paling buruk bagi juara England 20 kali itu dalam lebih 70 tahun.
Kini Liverpool berdepan kunjungan ke West Ham hari ini dengan harapan terdesak untuk memperbaiki kedudukan mereka di tempat ke-12 dalam carta Liga Perdana.
Slot, yang membawa Liverpool menjuarai Liga Perdana musim lalu dalam musim pertamanya sebagai pengurus berkata, beliau yakin kedudukannya masih selamat.
Dalam sidang akhbar, bos Liverpool itu ditanya pada permulaan sidang media sama ada beliau telah bercakap dengan pemilik kelab sejak perlawanan menentang PSV.
“Kami mengadakan perbualan yang sama sejak saya berada di sini. Kami terus berjuang. Dan kami cuba untuk bertambah baik, itu yang kami semua cuba lakukan. Tetapi perbualan itu sama seperti yang berlaku sepanjang satu setengah tahun lalu,” katanya.
Pengendali dari Belanda itu mengakui standard Liverpool telah merosot tetapi menegaskan beliau tidak berasa dikhianati oleh para pemainnya.
“Kami percaya kami boleh bermain lebih baik daripada apa yang kami tunjukkan. Tetapi musim lalu, ketika kami bermain dengan sangat baik, banyak tumpuan diberikan kepada individu tertentu dan saya selalu berkata ia sepatutnya mengenai pasukan, dan pasukanlah yang membuat individu kelihatan sangat bagus.
“Dan jika sebaliknya berlaku, kita juga harus melihat kepada pasukan dan bukan kepada individu,” ujar beliau.
Namun Slot berkata, bukan mudah untuk mencari jawapan, mengakui tidurnya “tidak begitu lena” selepas kekalahan yang mengaibkan pada Rabu.
Beliau berkata pasukannya gagal memanfaatkan peluang sementara kesilapan mereka sering dihukum.
“Kami menerima hentakan demi hentakan, yang sangat sukar. Sebab itu saya terus berkata terutamanya ketika itu berlaku, kami perlu terus berjuang,” tegasnya.
Slot berkata beliau menjangkakan Alisson Becker boleh diturunkan menentang West Ham selepas penjaga gol itu terlepas aksi menentang PSV kerana sakit, dan Florian Wirtz mungkin kembali menjalani latihan. – AGENSI/UTUSAN










