Sehingga kini, masih timbul kekeliruan dalam kalangan orang ramai untuk membezakan antara komuniti Chetti Melaka dan Chettiar. Sedikit maklumat mengenai masyarakat Chetti Melaka dikongsi di ruangan ini pada 3 Oktober 2020. Pada kali ini, kita cuba mengenali siapakah pula golongan Chettiar.
Mereka merupakan golongan pedagang dari India yang sudah terlibat dalam perdagangan dengan beberapa kawasan di Kepulauan Melayu sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada waktu itu, mereka membawa kain tenunan bermutu dan beras untuk ditukar dengan hasil bumi di Asia Tenggara.
Golongan Chettiar tertumpu di daerah Ramanathapuram (Ramnad), Tiruchirappalli (Tiruchi) dan Chettinad (Sivaganga) di Tamil Nadu, India. Mereka diakui pandai mengumpul harta dan bijak menguruskan wang. Semasa penjajahan British di India, komuniti itu mula lebih tertumpu kepada kerja-kerja memberi pinjaman wang di sekitar Madras (Chennai). Dari situlah bermula gelaran ‘ceti’ yang masih popular di negara kita sehingga kini.
Sewaktu British membawa masuk tenaga buruh dari Tamil Nadu dan Andra Pradesh untuk bekerja di ladang getah dan kelapa di Malaya, golongan Chettiar turut menjadi ejen dan mendapat komisen yang banyak. Kisah-kisah ini dapat dibaca dalam pelbagai dokumen rasmi yang tersimpan di Arkib Negara.
Golongan Chettiar bermula sebagai pedagang amat berjaya, kemudian terlibat dalam pelbagai aktiviti lain yang membawa pulangan lumayan. Misalnya, semasa Portugis menjajah Melaka, pedagang Chettiar menguruskan kerja-kerja membekalkan tekstil dan beras.
Menjelang zaman penjajahan Belanda, golongan Chettiar turut menguasai perusahaan bijih timah dan ladang lada hitam. Penjajah Belanda mula mengenakan cukai yang tinggi untuk mengekalkan monopoli. Namun begitu, golongan Chettiar ternyata masih mampu menyesuaikan diri dan memastikan pendapatan berterusan dari pelbagai sumber.
Perniagaan ceti bermula sebagai perniagaan keluarga yang didaftar di bawah kuil-kuil di Chettinad dan Madras. Segala perniagaan dan perdagangan dijalankan secara sistematik, profesional dan penuh etika. Golongan Chettiar sangat mementingkan ajaran agama Hindu. Segala aktiviti harian mereka sentiasa ada kaitan dengan kuil.
Ajaran etika, moral dan nilai-nilai agama menjadi jati diri dan pegangan dalam menjalankan perniagaan.
Komuniti Chettiar yang menetap di Malaya juga mengekalkan segala ciri positif itu dalam kehidupan seharian dan urusan perniagaan. Mereka bermula sebagai pedagang, kemudian menjadi ceti serta mula memiliki harta berupa tanah, bangunan dan ladang tanaman. Menjelang 1930, terdapat lebih 100 ladang dimiliki golongan Chettiar di Perak, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Jauh sebelum muncul bank-bank di India dan Malaya, golongan Chettiar menyediakan perkhidmatan menyimpan wang dengan bunga yang lumayan. Ramai buruh dan pekerja ladang kaum India menjadi pelanggan setia kerana mempercayai kredibiliti golongan Chettiar sebagai pengurus kewangan yang profesional.
CINA
Petani kaum Melayu pada zaman penjajahan British pula meminjam wang daripada golongan Chettiar untuk menampung kos menguruskan ladang kelapa, sawah padi dan ladang penternakan. Dokumen arkib juga menunjukkan golongan bangsawan Melayu khususnya di Perak dan Kedah turut meminjam wang daripada golongan Chettiar.
Turut meminjam wang daripada mereka ialah peniaga, pemilik lombong bijih timah dan pengusaha ladang getah kaum Cina. Yap Ah Loy dan Tan Cheng Lock termasuk dalam senarai individu yang pernah melakukan pinjaman daripada golongan Chettiar. Sekiranya dokumen lama dirujuk, ramai juga peniaga di Pulau Pinang membina bangunan dan premis perniagaan menggunakan wang pinjaman ceti pada masa dahulu.
Sebagaimana disebutkan, golongan Chettiar kuat berpegang pada ajaran agama. Mereka juga terlibat secara langsung dalam pembinaan dan pengurusan sekurang-kurangnya 15 kuil Dewa Murugan di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang. Kebanyakannya diuruskan oleh Dewan Perniagaan Nattukottai Chettiar yang ditubuhkan pada 1946 (selepas penjajahan Jepun) untuk melindungi komuniti dan harta yang dimiliki golongan Chettiar.
Untuk rekod, kuil-kuil yang dimiliki golongan Chettiar tidak bergantung kepada sumbangan orang ramai mahupun kerajaan untuk beroperasi. Sebaliknya, harta dan perniagaan milik jawatankuasa pengurusan sudah mencukupi untuk menampung segala kos.
Tabung Nattukottai Chettiar turut diwujudkan untuk memberi bantuan dana kepada pihak yang memerlukan. Misalnya, Sejarah Melayu diterjemah kepada bahasa Tamil oleh Rama Subbiah dan diterbitkan oleh Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya pada 1968 menggunakan geran dari tabung berkenaan.
Malah, golongan Chettiar turut memberi sumbangan kewangan dalam jumlah yang besar sewaktu pembinaan Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Namun begitu, mereka dikatakan kurang terlibat dalam menyokong pembinaan dan pengurusan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT). Hal ini mungkin berlaku kerana golongan Chettiar tidak mahu masuk campur dalam bidang yang sudah dimonopoli MIC.
Bagaimanapun, SJKT Chettiars di Ipoh, Perak menunjukkan sumbangan golongan itu kepada sistem pendidikan vernakular. Pada masa sama, Kuil Sri Dhandayuthapani di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menyumbangkan tanah dan wang bagi pembinaan Sekolah Kebangsaan Sri Dhandayuthapani di sebelah kuil berkenaan.
Wakil komuniti Chettiar juga pernah menjadi Presiden MIC. Selepas Budh Singh, K. Ramanathan Chettiar memegang jawatan itu pada 1950 hingga 1951 sebelum diambil alih oleh K.L. Devaser. Ramanathan dikatakan gagal menyatukan masyarakat keturunan Tamil, Malayali, Telugu dan Punjabi di bawah parti politik itu.
Pada masa sekarang, golongan Chettiar tidak sepenuhnya terlibat dalam perniagaan pinjaman wang (ceti). Mereka juga menyumbangkan tenaga dan khidmat dalam pelbagai bidang pekerjaan kerajaan dan swasta. Ramai yang tidak lagi meletakkan ‘Chettiar’ pada hujung nama tetapi tetap berbangga dengan sejarah, identiti, jati diri dan sumbangan komuniti itu kepada negara.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










