PETALING JAYA: Hasrat skuad ekuestrian negara untuk memburu pingat di Sukan SEA Thailand Disember ini berdepan laluan berliku apabila persiapan fasa akhir untuk acara dressage dibelenggu masalah logistik dan kecederaan kuda utama.
Situasi mencemaskan itu disahkan jurulatih negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil yang menyifatkan persiapan kali ini sebagai mencabar berbanding edisi-edisi terdahulu.
“Persiapan kita terganggu kerana kuda milik salah seorang penunggang berpengalaman, Quek Sue Yian cedera dan kita masih menunggu pelepasan veterinar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Qabil menjelaskan Sue Yian kemungkinan besar tidak dapat beraksi sehingga memaksa skuad negara melupakan kelebihan taktikal ‘drop score’ (markah terendah tidak dikira) yang amat penting dalam perebutan pingat berpasukan.
“Jika Sue Yian tidak boleh bertanding, kita terpaksa mempertaruhkan tiga penunggang sahaja iaitu Amira Syahirah Mohd Zulkefli, Lee Cheng Ni Diani dan Megan Ding Min Ern.
“Ini satu kekurangan besar kerana selalunya kita perlukan empat penunggang. Bila hanya ada tiga, semua markah dikira dan tiada ruang untuk kesilapan. Misi memburu pingat menjadi agak sukar,” katanya.
Lebih mencabar, kuda yang berada di Malaysia kini berdepan kesukaran untuk dibawa masuk ke Thailand susulan bencana banjir yang melanda laluan darat ke negara jiran itu.
Jelas Qabil, laluan darat berisiko tinggi sehingga memaksa mereka mencari alternatif penerbangan kargo yang menelan kos tinggi dan masih belum mendapat pengesahan penerbangan.
Tambahnya, Thailand memiliki kelebihan berganda apabila beraksi di laman sendiri, selain bakal diperkuatkan dengan penyertaan Puteri Thailand yang pastinya menarik sokongan padu penyokong tempatan.
“Agak sukar untuk saya janjikan pingat. Ini adalah kali pertama bagi sesetengah penunggang. Kalau di peringkat kebangsaan tiada masalah, tetapi di pentas antarabangsa tekanannya berbeza.
“Namun, mereka sedang berlatih bersungguh-sungguh. Apa yang saya harapkan sekarang ialah semua kuda dapat sampai dengan selamat dahulu ke Thailand. Insya-Allah, kita akan cuba lakukan yang terbaik demi negara,” katanya. – UTUSAN










