SABAK BERNAM: Seramai 51 mangsa di Kampung Nelayan, Sungai Besar dan Sekinchan di sini, dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.
Di Dewan Seri Bernam, Sungai Panjang, seramai 39 penduduk ditempatkan di PPS berkenaan yang terdiri daripada 10 keluarga termasuk lima kanak-kanak dan empat bayi.
Sementara di Sekinchan, seramai 12 penduduk terdiri daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Seri Sekinchan.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, secara kumulatif sehingga pukul 8.39 pagi tadi sebanyak 14 keluarga dipindahkan ke dua PPS termauk tujuh warga emas dan tiga orang kurang upaya.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.35 malam melibatkan banjir di Kampung Nelayan Sungai Besar.
Tambahnya, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir itu.
“Berdasarkan laporan jomander operasi beberapa rumah telah dinaiki air susulan hujan berterusan dan air pasang besar.
“Mangsa yang diselamatkan oleh anggota Bomba seramai 39 orang melibatkan enam buah keluarga yang kesemuanya ditempatkan di PPS Dewan Sri Bernam,” katanya.
Maklumat Dashboard Banjir JBPM Selangor pula menunjukkan sebanyak 58 pemantauan banjir dilakukan oleh pasukan bomba melibatkan 21 petugas dari empat BBP di sekitar Sbak Bernam, Sungai Besar, Bestari Jaya, Shah Alam dan Bukit Jelutong. – UTUSAN










