KUALA LUMPUR: Khidmat fotografi tanpa lesen terus beroperasi di sekitar Suria KLCC di sini, meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan penguatkuasaan secara berkala.
Operasi pukul 9 malam malam tadi mengesan lebih 20 individu yang menjalankan kegiatan itu dan dikenakan notis kompaun dalam operasi dijalankan bersama pasukan KL Strike Force.
Kumpulan jurugambar jalanan itu beredar sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi, namun kembali semula dan meneruskan aktiviti mereka tidak lama kemudian.
Ada antara mereka yang sudah diberikan notis kompaun tidak beredar dari lokasi, sebaliknya menyambung semula aktiviti kerana menyangka pasukan operasi sudah beredar.
Keadaan itu memaksa pemeriksaan dilakukan dua kali di kawasan sama selepas anggota penguat kuasa berpura pura meninggalkan lokasi bagi mengesan individu yang kembali menawarkan perkhidmatan tanpa kebenaran.
Seorang jurugambar jalanan yang enggan dikenali berkata, mereka mencari rezeki dengan mengambil gambar pelancong pada kadar RM5 bagi warga tempatan dan RM10 untuk pelancong asing.
“Ramai pelancong suka gambar yang kami ambil dan kami tidak kacau sesiapa,” katanya.
Lelaki berusia 32 tahun itu turut menolak dakwaan bahawa aktiviti itu didominasi warga asing.
Operasi itu berakhir sekitar pukul 11.30 malam.
Sumber operasi memaklumkan, 15 individu dikompaun di kawasan Suria KLCC manakala tujuh lagi dikenakan tindakan berhampiran Pintasan Saloma.
Dalam operasi sama akhir Julai lalu, sebanyak 41 kompaun dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Lens (Op Lens) yang dijalankan di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC.
Operasi bertujuan memantau dan mengambil tindakan susulan terhadap kegiatan jurugambar tanpa kelulusan yang dijalankan secara terbuka di tempat awam. – UTUSAN











