Tambah lima peratus caruman KWSP pekerja

Tambah lima peratus caruman KWSP pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pekerja dicadang menambah sendiri caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara tiga ke lima peratus berikutan prestasi dana persaraan itu yang menunjukkan pertumbuhan positif.

Berdasarkan prestasi semasa, KWSP menawarkan pulangan stabil dan risiko lebih rendah berbanding pelaburan kendiri seperti unit amanah atau saham.

Setakat Disember 2024, terdapat 16.22 juta pencarum pekerja swasta dengan 8.78 juta adalah pencarum aktif melibatkan 614,563 majikan.

Kadar caruman wajib 11 peratus bagi pekerja manakala 12 peratus bagi majikan yang pekerjanya berpendapatan RM5,000 ke atas dan 13 peratus bagi pekerja pendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur berkata, KWSP kekal sebagai platform simpanan jangka panjang yang lebih sesuai berikutan dana itu dikawal selia secara ketat, tidak mengenakan caj tersembunyi seperti caj jualan, pengurusan atau komisen ejen yang lazim ada dalam pelaburan lain.

“Melihat kepada prestasi KWSP yang terus meningkat, adalah lebih baik pencarum menambah caruman mereka kerana pendapatan KWSP meningkat sekitar 11 peratus daripada RM57 bilion kepada RM64 bilion, disokong sumbangan kukuh daripada pelaburan ekuiti, instrumen pendapatan tetap serta prestasi positif aset hartanah, infrastruktur dan pasaran wang.

“KWSP menawarkan risiko yang lebih rendah dan kos hampir sifar. Ketiadaan caj tersembunyi memastikan pulangan yang diterima penca­rum lebih bersih dan konsis­ten,” katanya.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, konvensional dan syariah, hasil daripada pen­dapatan pelaburan seba­nyak RM74.46 bilion.

Prestasi tahun ini dijangka lebih baik memandangkan setakat sembilan bulan tahun ini, KWSP, merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion, lebih tinggi berbanding RM57.57 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Institusi dana persaraan negara itu berpotensi meraih pendapatan pelaburan lebih tinggi seterusnya mengagihkan dividen sehingga 6.50 pe­ratus pada tahun ini.

Mustazar berkata, ciri-ciri yang tidak membenarkan pe­ngeluaran sesuka hati juga adalah kelebihan kerana ia mendisiplinkan pencarum me­ngekalkan simpanan jangka panjang sekali gus mengelakkan kecenderu­ngan mengeluarkan wang pada waktu tidak perlu.

“Bagi mereka yang tidak berpengalaman atau tidak mempunyai masa untuk memantau pasaran setiap hari, KWSP adalah platform terbaik untuk simpanan tambahan,” katanya.

Mengenai perbandingan an­tara KWSP dan unit amanah, Mustazar berkata, dividen KWSP lebih konsisten berbanding unit amanah yang mempunyai julat risiko sangat berbeza dan turut dikenakan caj-caj yang boleh menjejaskan pulangan sebenar pelabur.

“Unit amanah lazimnya mengenakan caj jualan antara tiga hingga lima peratus, selain caj pengurusan satu hingga dua peratus setahun. Risiko unit amanah juga lebih tinggi kerana prestasinya bergantung kepada pergerakan pasaran dan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur.

“Dengan risiko rendah, kos minimum dan pengurusan profesional, meningkatkan caruman KWSP merupakan langkah terbaik untuk mengukuhkan simpanan persaraan, terutama ketika ramai pesara ketika ini menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas bersara,” katanya.

Menurut Mustazar, indi­vidu memerlukan antara RM500,000 hingga RM1 juta untuk menampung kehidupan selama 10 tahun selepas bersara sekali gus menjadikan komitmen dan konsisten terhadap caruman KWSP sebagai keperluan mendesak.

Keseluruhan struktur KWSP turut mempunyai risiko rendah, kos minimum, diversifikasi aset dan disiplin simpanan yang menjadikan ia sebagai platform paling berkesan untuk memastikan kesejahteraan kewangan pada usia emas.

“Sebagai contoh, sumba­ngan tambahan RM200 sebulan dengan pulangan dividen sekitar lima hingga enam peratus, mampu menghasilkan simpa­nan lebih RM70,000 hingga RM80,000 dalam tempoh 20 tahun

“Dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang makin panjang, keperluan kewangan selepas persaraan turut meningkat sekali gus menjadikan caruman tambahan sebagai langkah le­bih selamat untuk menjamin kestabilan hidup pada usia emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN