SIDON: Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kem pelarian Palestin di selatan Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan Awam negara itu.
Serangan menggunakan dron tersebut mengenai sebuah kereta di kawasan parkir masjid dalam Kem Pelarian Ein el-Hilweh, di pinggir bandar pesisir Sidon, lapor Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
Kementerian itu memaklumkan sekurang-kurangnya empat lagi cedera, sambil menambah ambulans masih membawa mangsa ke hospital berdekatan.
Pihak tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan anggota kumpulan Hamas yang beroperasi di sebuah kawasan latihan dalam kem berkenaan.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman di sempadan utara. Ini termasuk semua kumpulan pengganas yang beroperasi di rantau ini,” kata jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, dalam satu kenyataan.
Namun, Hamas menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai rekaan, sambil menegaskan kumpulan itu tidak memiliki pusat latihan dalam kem pelarian di Lubnan.
Terdahulu pada Selasa, kerajaan Lubnan melaporkan dua lagi maut dalam serangan Israel terhadap beberapa kenderaan di selatan negara itu.
Sehari selepas Israel melancarkan perang di Gaza, Hezbollah mula melancarkan roket ke wilayah Israel, yang dibalas dengan tembakan artileri dan serangan udara, sekali gus mencetuskan konflik terbuka yang memuncak menjadi perang penuh pada akhir September 2024.
Perang itu mengakibatkan lebih 4,000 maut di Lubnan, termasuk ratusan orang awam, manakala 127 terbunuh di Israel, 80 daripadanya anggota tentera.
Walaupun Amerika Syarikat (AS) berjaya memeterai gencatan senjata pada akhir November tahun lalu, Israel tetap melancarkan puluhan serangan udara di Lubnan dengan alasan Hezbollah cuba membina semula kekuatan militannya.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lebih 270 maut dan kira-kira 850 cedera akibat tindakan ketenteraan Israel sejak gencatan senjata tersebut berkuat kuasa. -AGENSI










