KAJANG: Dua individu ditahan sekitar Batu 9, di sini semalam berhubung kes kecurian di sebuah rumah milik pempengaruh media sosial yang membabitkan kerugian RM360,000 di Bandar Sungai Long, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa orang lagi suspek disyaki terbabit dalam kecurian itu.
Menurutnya, kedua suspek disyaki terbabit dalam kejadian itu merupakan kenalan kepada mangsa berkenaan.
“Pada pukul 10.30 pagi hingga 2.30 petang sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan seorang lelaki dan wanita tempatan.
“Suspek lelaki berusia 21 tahun merupakan seorang pekerja swasta manakala suspek wanita berusia 37 tahun merupakan penganggur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis merampas dua telefon bimbit bagi membantu mengesan barangan yang dicuri serta baki suspek terbabit.
Katanya, pemeriksaan rekod mendapati kedua-dua suspek terbabit masing-masing mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik.
Naazron, suspek wanita direman sehari bermula kelmarin sehingga semalam manakala suspek lelaki direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan.
Sebelum ini media melaporkan, polis sedang mengesan suspek memecah masuk kediaman pempengaruh media sosial di Bandar Sungai Long, Kajang yang mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM360,000. – UTUSAN










