“Peperangan masih berjalan dan warga Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan pertahanan terakhir bagi memutuskan rantaian Covid-19. Semoga terus berikhtiar dan cuba sedaya upaya bagi membebaskan negara daripada pandemik ini.”
Itu antara pesanan yang dititipkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kepada warga kerja KKM ketika meninjau Hospital Putrajaya pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan 12 Mei lalu juga menyifatkan rakyat yang hidup di era pandemik Covid-19 seperti hidup di zaman perang yang mana mereka perlu melindungi diri setiap masa bagi menyelamatkan nyawa. Rakyat diminta untuk berkorban melawan pandemik Covid-19 dengan meningkatkan disiplin diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa.
Pada saat ini, kita seharusnya bersatu hati seperti askar menentang pusaran ganas pandemik Covid-19 walau di mana kita berada. Tidak kira di kampung, pinggir bandar mahupun bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru dan Ipoh.
Tiada siapa menduga, kes positif harian boleh mencecah lebih 9,000.
Saat ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam mewujudkan imuniti kelompok masih berjalan. Kita doakan agar PICK terus pick up (bangkit) pergerakan operasinya kerana rakyat sudah mula bimbang, apakah nasib mereka jika vaksin yang diharapkan tidak kunjung tiba?
Vaksin yang diperlukan ibarat senjata untuk menentang Covid-19 dan varian baharunya. Isu pendaftaran lembab melalui MySejahtera dan masalah pendaftaran melalui aplikasi SELangkah kerajaan negeri Selangor perlu diselesaikan bagi menjayakan ‘peperangan’ menentang musuh halimunan tersebut.
Pada masa ini, pemimpin politik dari semua parti, lakukanlah gencatan persaingan politik untuk kekal fokus dengan perang melawan Covid-19.
Tidak kasihankah kepada rakyat yang terkesan sosioekonomi hingga ada yang jatuh miskin kerana tiada bisnes dan pekerjaan?
Jika Parlimen tidak boleh dibuka, mungkin perbincangan antara pemimpin utama sahaja boleh diadakan bagi memastikan rakyat dibincangkan atas semangat perpaduan, bersatu teguh, bercerai roboh.
Tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin membiarkan peperangan melawan Covid-19 diteruskan dengan keadaan kes semakin mencanak sedangkan pemimpin tidak habis-habis dengan percaturan kepartian sepanjang masa? Rakyat memang boleh duduk di rumah, begitu juga pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang.
Pada saat perang melawan Covid-19 dilihat semakin kritikal, selain membina kubu di rumah sendiri, semua pemimpin perlu berperanan menjadi komander memikirkan strategi perang melawan Covid-19, menasihati rakyat patuh SOP dan berkempen agar rakyat mengambil vaksin mengikut giliran ditetapkan sebelum semuanya sudah terlambat.











