PENGUMUMAN Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mengenai pelaksanaan inisiatif dua guru dalam satu kelas bermula sesi akademik 2027 mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kaedah ini yang dikenali sebagai co-teaching menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat, termasuk mereka yang bukan berlatar belakang pendidikan.
Sebahagian pihak menyambutnya sebagai pembaharuan positif, manakala ada yang menzahirkan kebimbangan tentang keberkesanannya.
Bagi sektor pendidikan awam, khususnya di sekolah, pendekatan ini mungkin tampak baharu dan mencabar dari segi pelaksanaan. Namun hakikatnya, kaedah ini sudah lama diamalkan dalam sistem pendidikan di seluruh dunia lebih lima dekad lamanya dan terbukti memberi kesan besar terhadap kualiti pembelajaran murid.
Konsep asal co-teaching diperkenalkan sebagai strategi bagi menyokong pembelajaran inklusif dengan matlamat memastikan murid berkeperluan khas tidak diasingkan tetapi belajar bersama rakan sebaya dalam kelas biasa.
Dalam pelaksanaannya, dua guru iaitu seorang guru arus perdana dan seorang guru pendidikan khas bekerjasama secara bersepadu untuk memastikan setiap murid mendapat peluang pembelajaran yang sama tanpa tertinggal.
Prinsip utamanya berteraskan semangat ‘tiada anak yang ketinggalan’ memastikan semua pelajar memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti melalui perkongsian kepakaran dan tanggungjawab bersama.
Negara-negara maju seperti Finland dan Jepun membuktikan keberkesanan kaedah ini dalam mengurangkan risiko keciciran pelajar. Malah, ia juga membantu menjamin kesinambungan proses pembelajaran sekiranya seorang guru tidak dapat hadir ke sekolah akibat cuti sakit, tugasan luar atau kecemasan.
Lebih daripada itu, langkah ini menambah nilai kepada pengajaran merentas disiplin terutamanya bagi subjek seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menggabungkan kepakaran dua guru untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh dan menarik berbanding pendekatan tradisional yang berpusat pada seorang guru.
Namun begitu, masih wujud salah tanggapan umum yang kononnya dua guru akan mengajar secara serentak dalam satu sesi yang sama sehingga menyebabkan kekeliruan kepada pelajar. Sebenarnya, konsep ini jauh lebih luas daripada sekadar berkongsi ruang kelas. Ia melibatkan proses perancangan yang teliti sebelum sesi pengajaran bermula. Dua guru yang terlibat perlu menyediakan rancangan pengajaran secara bersama, menetapkan objektif yang jelas, menyelaraskan peranan masing-masing serta memastikan komunikasi yang telus dan konsisten sepanjang proses pembelajaran.
Pelaksanaan yang berkesan menuntut kerjasama erat antara kedua-dua guru bagi memastikan tiada pertindihan, percanggahan atau kekeliruan dalam penyampaian. Dengan perancangan yang baik, kehadiran dua tenaga pengajar sebenarnya dapat meningkatkan tumpuan pelajar, memperkayakan pengalaman pembelajaran serta mengurangkan jurang prestasi dalam kelas yang berbeza tahap kebolehannya.
Antara kebimbangan yang turut dibangkitkan ialah kemungkinan pertambahan beban tugas guru dan peningkatan kos penggajian apabila dua tenaga pengajar ditempatkan dalam satu kelas. Walaupun perkara ini wajar dipertimbangkan, ia bukan alasan untuk menolak pelaksanaan co-teaching. Dengan pengurusan sumber manusia yang strategik serta pengagihan tenaga pengajar yang efisien, KPM dapat memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar tanpa memberi tekanan berlebihan kepada tenaga pengajar.
Selain itu, universiti dan institusi latihan perguruan boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan latihan profesional kepada guru dalam melaksanakan co-teaching.
Pengalaman sektor pendidikan tinggi yang telah lama mengamalkan pengajaran rentas disiplin terutamanya dalam bidang sains dan kejuruteraan boleh dijadikan asas kepada pembentukan model pelaksanaan yang sesuai untuk konteks sekolah di Malaysia.
Keberkesanan pembelajaran bersama ini bergantung pada ekosistem pendidikan yang menyeluruh. Ia memerlukan sokongan kepimpinan sekolah, pelaburan dalam latihan berterusan serta budaya kolaborasi yang menggalakkan perkongsian ilmu berbanding persaingan individu. Sekiranya dilaksanakan dengan baik, pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran tetapi juga memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga pendidik.
Inisiatif dua guru dalam satu kelas bukan sekadar langkah pentadbiran baharu tetapi transformasi pedagogi yang boleh membuka era baharu pendidikan negara.
Dalam dunia pendidikan moden yang menuntut inklusiviti, empati dan keberkesanan, co-teaching mampu menjadi jambatan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih adil, menyeluruh dan berperikemanusiaan demi memastikan setiap anak Malaysia mendapat peluang untuk belajar dan berjaya bersama.-UTUSAN
DR. Nur Aira Abd. Rahim ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).











