KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk tanpa kebenaran bagi tujuan mendapatkan tender kerajaan, tahun lalu.
Tertuduh, Bashir Mohd. Sardar Husin, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Bashir didakwa menggunakan gelaran tersebut tanpa sebarang surat kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang bagi maksud perniagaan termasuk urusan untuk mendapatkan tender kerajaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.30 pagi di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada 26 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 3 (1) (a) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 3 (3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham mencadangkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Namun, peguam Nasar Khan memohon jumlah dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan untuk membayar wang jaminan yang terlalu tinggi.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










