AICB perkenal FSF Xcel, sokong transformasi sektor

AICB perkenal FSF Xcel, sokong transformasi sektor

EDWARD LING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DALAM usaha memperkukuh daya saing dan kesiapsiagaan masa depan sektor kewangan negara, Institut Jurubank Bertauliah Asia (AICB) telah memperkenalkan FSF Xcel, sebuah platform berasaskan data yang direka khusus untuk membangunkan dan memperkasa tenaga kerja kewangan Malaysia.

FSF Xcel merupakan inisiatif lanjutan daripada Future Skills Framework (FSF) yang diperkenalkan pada Julai 2024, dan berperanan mengubah rangka kerja tersebut daripada sekadar panduan strategik kepada alat digital yang praktikal, interaktif dan berskala besar. 

Berkongsi lanjut, Wartawan Utusan Malaysia, ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI menemubual Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jurubank Bertauliah Asia (AICB), EDWARD LING mengenai transformasi dalam sektor kewangan di negara ini.

UTUSAN: Mengapa sekarang merupakan masa yang tepat untuk AICB memperkenalkan FSF Xcel, dan apakah yang menginspirasikan pembangunannya untuk sektor kewangan Malaysia?

EDWARD: Kini merupakan masa yang sesuai dan penting untuk AICB memperkenalkan FSF Xcel kerana sektor kewangan Malaysia sedang melalui transformasi pesat yang dipacu oleh pendigitalan, perubahan jangkaan pelanggan, serta tuntutan peraturan yang semakin berkembang. 

Perubahan ini sedang mentakrif semula peranan pekerjaan dan keperluan kemahiran, sekaligus menonjolkan keperluan mendesak untuk membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.

FSF Xcel dibangunkan untuk menghidupkan Future Skills Framework (FSF) bagi sektor kewangan Malaysia, yang diperkenalkan pada Julai 2024,  menukarkannya daripada rangka rujukan kepada platform berasaskan data yang praktikal, mesra pengguna, analitik kukuh dan berskala besar. Ia diilhamkan oleh keperluan untuk membantu majikan dan pekerja menggunakan serta mengaplikasikan FSF dengan berkesan membolehkan penilaian keupayaan semasa secara sistematik, mengenal pasti jurang kemahiran berbanding FSF, serta membangunkan inisiatif pembelajaran dan bakat yang disasarkan.

Akhirnya, FSF Xcel merupakan langkah strategik dalam membina saluran bakat yang tangkas dan berkemahiran tinggi untuk meningkatkan daya saing sektor kewangan Malaysia, membolehkan institusi kewangan (FI) dan profesional kewangan berkembang maju dalam landskap yang pesat berubah.

 

Bagaimanakah FSF Xcel dapat membantu profesional dan institusi kewangan bersedia menghadapi perubahan pesat akibat pendigitalan dan automasi?

FSF Xcel membolehkan individu menilai tahap kemahiran mereka berbanding 25 kemahiran utama digital dan integrasi data yang dikenal pasti dalam FSF, serta menutup jurang kemahiran melalui laluan pembelajaran yang disasarkan dan sejajar dengan rangka tersebut.

Bagi institusi kewangan, FSF Xcel menyediakan cerapan berasaskan data tentang keupayaan tenaga kerja dan keperluan kemahiran yang sedang muncul, sekali gus memberi gambaran jelas terhadap landskap bakat mereka dan membolehkan perancangan strategik yang lebih baik untuk inisiatif peningkatan dan penyesuaian kemahiran.

Dengan menggabungkan pe­merkasaan individu dan kepintaran organisasi, FSF Xcel membantu industri bergerak daripada sekadar bertindak balas kepada perubahan kepada mampu menjangka perubahan, memastikan tenaga kerja kewangan kekal relevan dan bersedia untuk masa depan.

 

Apakah sasaran atau hasil khusus yang ditetapkan oleh AICB melalui inisiatif ini?

Fokus utama kami adalah untuk memastikan institusi kewangan mula melanggan dan mengguna pakai FSF Xcel menjelang suku keempat 2025 agar pembangunan bakat dapat dijalankan secara berasaskan data, konsisten, dan selaras dengan FSF.

Dalam jangka panjang, dengan pemilikan individu terhadap pembangunan kemahiran masing-masing melalui penilaian yang diperibadikan, kami berhasrat untuk membina pandangan menyeluruh mengenai penawaran dan permintaan kemahiran di seluruh sektor. 

Ini akan meningkatkan mobiliti bakat melalui laluan kerjaya dan peluang peningkatan kemahiran yang lebih jelas.

Kejayaan FSF Xcel akan diukur berdasarkan sejauh mana ia mendorong peningkatan ketara dalam prestasi kemahiran, produktiviti, peluang kemajuan kerjaya dan ketangkasan tenaga kerja. 

Bagi FI, ia berperanan sebagai pemangkin transformasi organisasi dengan memperkukuh pengambilan, perancangan penggantian, pengurusan prestasi, dan inisiatif pembelajaran.

 

FSF Xcel dibangunkan dengan kerjasama Accendo Technologies dan disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sejauh mana pentingnya perkongsian ini?

Rangka Biru Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022–2026 memberikan hala tuju dasar bagi pembentukan FSF untuk memajukan transformasi tenaga kerja sektor kewangan. 

FSF Xcel pula dibangunkan sebagai pemacu digital FSF, menterjemahkan rangka tersebut kepada penilaian dan laluan pembelajaran yang boleh dilaksanakan. 

Sokongan berterusan daripada BNM memastikan inisiatif FSF, termasuk FSF Xcel, kekal selaras dengan keutamaan nasional dalam pembangunan kemahiran dan daya saing industri.

Accendo Technologies, penyedia penyelesaian bakat berasaskan kecerdasan buatan (AI) dari Malaysia, membawakan kepakaran teknologi dan inovasi yang diperlukan untuk menjadikan FSF satu platform berasaskan data yang dinamik. 

Dengan pengalamannya dalam analitik kemahiran dan penyelesaian bakat, Accendo membantu membangunkan sistem intuitif yang memberi cerapan bermakna kepada pekerja dan majikan.

Perkongsian ini menunjukkan bagaimana kerjasama antara dasar, kepakaran domain dan teknologi dapat menghasilkan impak besar dalam membina tenaga kerja kewangan yang bersedia untuk masa depan di Malaysia.

 

Apakah kemahiran atau peranan kerja masa depan yang paling kritikal bagi tenaga kerja kewangan Malaysia?

Antara kemahiran yang akan membentuk masa depan tenaga kerja kewangan Malaysia, kemahiran digital, integrasi data serta kemahiran berpusatkan manusia muncul sebagai pemacu utama kesiapsiagaan. 

FSF mengenal pasti kemahiran seperti analitik data besar, pengurusan kecerdasan buatan, automasi proses, pemodelan ramalan dan perisikan ancaman siber sebagai antara kemahiran utama yang paling diperlukan.

Pada masa yang sama, kemahiran asas seperti keboleh suaian dan daya tahan, pemikiran kritikal, pengurusan perubahan, ketangkasan pembelajaran dan kerjasama amat penting kerana profesional perlu memanfaatkan teknologi sebagai rakan strategik dalam mendorong inovasi dan membuat keputusan yang lebih baik.

Berdasarkan Tinjauan Asas Tenaga Kerja AICB (Julai 2025) yang melibatkan 99 institusi kewangan dengan kadar maklum balas 68 peratus, peranan yang paling mengalami kekurangan bakat ialah perisikan ancaman siber, sains data, pengurusan risiko dan kawalan, pematuhan peraturan dan strategi kelestarian.

Ini mencerminkan peralihan sektor kewangan ke arah masa depan yang lebih digital dan bertanggungjawab, di mana teknologi dan pertimbangan manusia saling melengkapi dalam mendorong nilai serta kepercayaan.

 

Selain teknologi, bagaimana AICB memupuk budaya pembelajaran berterusan dan kecemerlangan profesional dalam industri?

AICB ialah satu-satunya institut di Asia Tenggara yang diberi kuasa oleh Chartered Banker Institute, United Kingdom (UK) untuk menganugerahkan status Chartered Banker. Ia menyokong pembelajaran inovatif dengan mempromosikan profesionalisme, kepimpinan pemikiran dan peluang jaringan profesional.

Dengan lebih 35,000 ahli, AICB menggalakkan profesional kewangan untuk mengambil tanggungjawab terhadap perjalanan pembangunan ahli sambil membantu FI menjadikan pembangunan bakat sebagai keutamaan strategik. 

Kami percaya tenaga kerja yang berprestasi tinggi dan bersedia untuk masa depan memerlukan bukan sahaja alat baharu, tetapi juga mindset dan komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Melalui inisiatif seperti FSF, FSF Xcel serta program kelayakan profesional dan pensijilan AICB, kami komited untuk menyemai budaya pembelajaran berterusan dalam industri. 

FSF kini menampilkan hampir 1,000 program pembangunan kapasiti untuk menyokong peningkatan kemahiran tenaga kerja, yang akan dikaji semula dan dikemas kini dari semasa ke semasa agar kekal relevan.

 

Melihat ke hadapan, apakah impak yang diharapkan oleh AICB daripada FSF Xcel dalam memposisikan Malaysia sebagai hab serantau bagi bakat kewangan yang berkemahiran tinggi dan bersedia untuk masa depan?

Melangkah ke hadapan, dengan menyediakan pendekatan berstruktur, konsisten dan berasaskan data terhadap penilaian serta pembangunan kemahiran, FSF Xcel akan membantu FI membina keupayaan tenaga kerja yang relevan secara tempatan dan berdaya saing di peringkat global.

Melalui FSF Xcel, kami ingin mengukuhkan penyelarasan antara keperluan industri, piawaian profesional dan hasil pembelajaran, bagi mewujudkan ekosistem bakat yang mampan dan responsif terhadap perubahan.

Dalam jangka panjang, inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kualiti tenaga kerja kewangan Malaysia, tetapi juga mengukuhkan reputasi negara sebagai pusat kecemerlangan profesionalisme, inovasi dan pembangunan keupayaan kewangan di rantau ini. 

Ia turut membuka potensi untuk pembangunan program pembelajaran piawai serantau serta platform pertukaran pengetahuan rentas sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×