PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan pasangan tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada separuh akhir Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, hari ini.
Turun sebagai pilihan pertama, Pearly-Thinaah dipaksa berhempas pulas sebelum beroleh kemenangan 24-22, 23-21 ke atas beregu No. 6 dunia tersebut dalam masa 57 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas gandingan Jepun yang diletakkan sebagai pilihan ketiga itu kepada 5-1.
Beregu No. 1 Malaysia itu bakal menghitung pertemuan dengan satu lagi gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam perlawanan akhir, esok.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu lelaki No. 4 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang terpaksa akur kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 12-21, 17-21 dalam masa 38 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi wakil tunggal negara yang berjaya mara ke perlawanan akhir. – UTUSAN











