NUUK: Parlimen Greenland meluluskan undang-undang baharu yang mengehadkan hak pemilikan hartanah oleh warga asing di pulau Artik itu susulan peningkatan minat pelabur dari Amerika Syarikat (AS), khususnya selepas wilayah tersebut menjadi tumpuan Presiden AS, Donald Trump.
Rang undang-undang itu diluluskan lewat Khamis dengan 21 undi menyokong manakala enam ahli parlimen berkecuali.
Menurut peruntukan baharu tersebut, hanya warga asing dan syarikat luar yang telah menetap secara tetap serta membayar semua cukai di Greenland bagi tempoh dua tahun berturut-turut dibenarkan membeli hartanah atau memperoleh hak guna tanah.
“Individu berwarganegara Denmark boleh membeli hartanah dan hak guna tanah di Greenland,” menurut teks undang-undang itu.
Awal tahun ini, tinjauan oleh akhbar harian Denmark, Politiken, menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur AS untuk memiliki hartanah di wilayah berkenaan.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, Trump beberapa kali menegaskan kepentingan strategik Greenland yang kaya sumber alam, malah tidak menolak penggunaan kekerasan untuk memastikan AS menguasai wilayah tersebut atas alasan keselamatan.
Dengan undang-undang baharu ini, hanya individu serta syarikat dari Greenland, Kepulauan Faroe dan Denmark dibenarkan membeli hartanah dan hak guna tanah di Greenland.
Peraturan tersebut dijadual berkuat kuasa mulai 1 Januari. – AGENSI









