KAHERAH: Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty menolak laporan yang mendakwa wujud ketegangan antara Mesir dan Arab Saudi, sambil menegaskan hubungan kedua-dua negara itu kukuh dan bersejarah.
Dalam wawancara bersama wartawan Mesir, Khaled Abu Bakr menerusi saluran televisyen swasta Al-Nahar pada Rabu malam, Abdelatty menegaskan dakwaan tersebut sebagai tidak tepat dan berpunca daripada salah faham terhadap sifat hubungan istimewa Mesir–Arab Saudi.
“Mesir dan Arab Saudi merupakan dua sayap utama dunia Arab dan Islam.
Hubungan antara kedua-dua negara ini kuat, diperkukuhkan oleh pertalian kekeluargaan serta hubungan mendalam yang telah terjalin sejak sekian lama. Ia menjadi pemangkin penting kepada kerjasama Arab dan Islam secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau hubungan kedua negara adalah kukuh dan tidak boleh digugat sama sekali.
“Meskipun terdapat pihak ketiga (yang tidak dinamakan) cuba menimbulkan kekacauan, usaha sedemikian tidak akan mengaburi kesedaran kedua-dua rakyat negara bersaudara ini,” katanya lagi. -AGENSI










