HAMPIR setiap minggu Selatan Thailand digegarkan dengan letupan. Walaupun skalanya kecil, sesekali ada juga kecederaan atau kematian dilaporkan.
Serangan bom biasanya disasarkan di lokasi-lokasi yang terdapat anggota pasukan keselamatan dan juga penjawat awam yang dituduh bersekongkol dengan kerajaan dan kebiasaannya ia dikaitkan dengan pihak pemisah yang menuntut kemerdekaan daripada Thailand.
Sebanyak 10,059 insiden serangan dan bom berlaku dalam tempoh dua dekad laku yang menyaksikan 5,989 kematian dengan 2,849 daripadanya merupakan penganut Buddha, 3,133 Islam dan tujuh Kristian.
Pelbagai usaha dijalankan oleh Kerajaan Thai untuk menoktahkan konflik khususnya di Yala, Narathiwat dan Pattani terutama melalui rundingan dengan pihak berkaitan termasuk menyediakan program pembangunan. Namun masih adakah cahaya di hujung terowong dalam proses perdamaian itu?
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, NIZAM HAMID dan media Malaysia bersama LEFTENAN JENERAL NORATIP POYNOK, Panglima Kawasan 4 Tentera Diraja Thailand di Pattani yang baru sebulan memegang jawatan itu dan bertanggungjawab terhadap keselamatan 14 wilayah di Selatan Thai.
Tuan di sebalik kejayaan menamatkan perang Thailand dan Kemboja dalam tempoh yang pendek, bolehkah pengalaman itu dilaksanakan di Selatan Thailand?
Pengalaman itu boleh dilaksanakan di Selatan Thai tetapi perang Thailand dengan Kemboja melibatkan dua buah negara. Ia lebih mudah. Tetapi masalah dalaman di Thailand agak rumit. Kita ada masalah antara penganut Islam dan Buddha. Ideanya berbeza dan kita memerlukan masa untuk selesaikannya.
Apa langkah diambil untuk selesaikan konflik itu?
Untuk jangka pendek kita mahu kawasan selatan ini selamat, kita mahu menjaga rakyat kita di wilayah yang terlibat dan pastikan mereka percaya kita boleh menjaga mereka dan dalam jangka panjang pula keamanan di kawasan ini dapat diwujudkan.
Kita mesti bersama secara harmoni untuk keamanan dengan mewujudkan peluang karier, kualiti kehidupan dari segi pendapatan sokong kehidupan harian serta membanteras masalah dadah. Kita sedang bekerja ke arah itu dan kurangkan jenayah
Penilaian tuan tentang selatan Thailand sejak sebulan lalu?
Saya mahu lihat tiga kawasan ini sangat selamat dan pastikan ia selamat untuk semua agar rakyat boleh tidur nyenyak.
Kami juga mahu pastikan semua orang menikmati kehidupan lebih baik dan penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan. Penjenayah mesti diproses ikut undang-undang.
Untuk orang biasa kita mahu sokong mereka dari segi peluang ekonomi, karier, pendapatan dan secara keseluruhannya rakyat mesti hidup gembira dan hargai kehidupan.
Namun kita tidak boleh selesaikan masalah di Selatan Thailand dalam 24 jam kerana ia sangat rumit dan ada masalah yang sudah terlalu lama yang perlukan masa untuk diselesaikan serta sebahagian masalah itu bukan sahaja dari wilayah ini tetapi faktor luar.
Sesetengahnya dapat kita lakukan terutama dari segi keselamatan rakyat tetapi yang lain kita perlu bincang dengan kerajaan untuk putuskan apa yang patut dibuat.
Sudahkah berjumpa dengan pemimpin tempatan?
Saya akan berjumpa dengan pemimpin agama di tiga wilayah dan bulan depan bersama dengan agensi kerajaan kami akan ke wilayah terlibat berjumpa dengan pemimpin kampung untuk berbincang dan kita cuba untuk pergi ke seluruh kampung.
Pengetua pondok dan guru agama mahukan kehidupan aman dan umat Islam mendalami agama, mereka tidak mahu keganasan berlaku. Apa komen tuan?
Ya, ia janji sama yang saya mahu tetapi pada masa sama kita ada ancaman daripada pihak yang bertindak ganas yang mahu menunjukkan kuasa mereka dan melakukan apa sahaja yang mereka mahu lakukan. Ia kumpulan kecil dan kita akan uruskan situasi ini.
Antaranya saya akan berjumpa dengan beberapa peringkat kumpulan untuk selesaikan masalah ini. Saya sendiri akan berjumpa dengan rakan setugas di Malaysia dalam bulan ini dan juga Cawangan Khas Bukit Aman serta pegawai tinggi saya juga akan berbincang dan berkongsi maklumat.
Jumlah pihak pemisah?
Kita boleh cakap pihak pemisah itu tidak ramai, kita cuba dapatkan mereka kembali untuk berbincang.
Masih adakah cahaya di hujung terowong dalam tamatkan konflik Selatan Thailand?
Kita mahu bawa balik keamanan kepada rakyat sesegera yang boleh, pihak keselamatan mahu pastikan mereka boleh menjaga rakyat.
Kita cakap dengan negara jiran tentang kawalan sempadan. Terima kasih pihak berkuasa Malaysia mengambil langkah ketatkan sempadan negara.
Tetapi bagaimana mahu selesaikan masalah di Thailand, ia masih sukar, ada salah faham. Kita kena bincang dengan Pejabat Pelajaran Daerah untuk sediakan sekolah supaya mereka boleh buat sesuatu yang baik.
Mesej kepada orang muda di Selatan Thailand?
Kita fokus pada pendidikan, tolonglah bincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah tentang peluang belajar, bukan soal agama sahaja tetapi pelbagai pendidikan di sekolah.
Jadi mereka akan ada karier untuk diri sendiri. Kami percaya mereka tidak akan terlibat dengan keganasan jika ada karier.
Apabila belajar lebih banyak, mereka akan tahu apa itu pendidikan dan prinsip asas serta tidak boleh terbabit dengan jenayah.
Harapan penyelesaian?
Kita patut duduk bersama dan bincang apa yang mereka mahu dan perlukan. Bincang duduk di meja lebih baik daripada melakukan keganasan..-UTUSAN










