PETALING JAYA: Institut Jantung Negara (IJN) menerima sumbangan zakat berjumlah RM5 juta daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi membantu golongan asnaf pesakit jantung dari negeri Johor yang mendapatkan rawatan di institut berkenaan.
Komitmen baharu itu akan disalurkan sepanjang lima tahun 2025 hingga 2029 bagi menampung kos rawatan pesakit jantung dalam kalangan asnaf Johor yang meliputi prosedur dan pembedahan jantung, peranti, ubat-ubatan serta rawatan susulan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohd. Fauzi, menerima sumbangan itu pada Majlis Pelancaran Program Barakah Zakat 2025 anjuran MAINJ di Kuala Lumpur, kelmarin.
Akmal Arief berkata, IJN amat menghargai keprihatinan berterusan MAINJ terhadap pesakit dari negeri Johor yang memerlukan bantuan kewangan bagi mendapatkan rawatan jantung.
“Bagi memastikan bantuan zakat disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak, pegawai Perkhidmatan Kewangan Pesakit IJN dilatih dan diiktiraf oleh MAINJ sebagai penilai zakat bertauliah untuk menilai pesakit di bawah kategori asnaf.
“Langkah ini secara tidak langsung memudahkan proses penilaian dan mempercepatkan bantuan MAINJ kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, melalui mekanisme itu, pesakit yang dikenal pasti sebagai asnaf akan dinilai bersama oleh IJN dan MAINJ bagi memastikan penyaluran dana berlaku secara telus dan berkesan.
“Dana berkenaan digunakan bagi menampung kos rawatan jantung termasuk prosedur kompleks serta pemasangan peranti seperti stent dan pacemaker.
“Kerjasama strategik ini turut menzahirkan komitmen MAINJ dalam memperkukuh bantuan kesihatan kepada golongan asnaf di negeri Johor”, katanya.
Menurut Akmal Arief, sebagai pusat rawatan jantung negara, IJN terus komited memberikan rawatan kardiovaskular bertaraf dunia kepada pesakit dewasa dan kanak-kanak, selaras dengan tanggungjawab sosial untuk memastikan tiada pesakit tercicir akibat kekangan kewangan.
“Sejak kerjasama itu dimulakan pada 2017, jumlah keseluruhan sumbangan MAINJ kepada IJN kini melebihi RM6 juta, dengan manfaat kepada lebih 1,100 pesakit jantung Johor yang menerima rawatan di IJN.
“Inisiatif zakat kesihatan ini juga selaras dengan misi MAINJ untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor melalui akses kepada rawatan perubatan berkualiti, di samping memperkukuh tanggungjawab sosial IJN berasaskan nilai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)”, katanya.
Katanya, model kerjasama MAINJ-IJN itu turut dilihat sebagai contoh terbaik bagaimana pengurusan dana zakat secara profesional mampu memberi impak besar terhadap kesejahteraan rakyat serta menjadi rujukan kepada negeri-negeri lain. – UTUSAN










