WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan sedang meneliti beberapa dana persekutuan yang disalurkan kepada New York City, susulan kemenangan Zohran Mamdani dalam pilihan raya Datuk Bandar, dengan kemungkinan untuk digantung atau dibatalkan.
Menurut seorang pegawai Rumah Putih pada Isnin lalu, langkah itu menunjukkan potensi tindak balas terhadap kemenangan ahli sosialis demokratik berkenaan.
Pentadbiran Trump kini menunggu keputusan presiden untuk meluluskan pembekuan dana berkenaan, kata pegawai yang enggan dinamakan kerana perkara tersebut masih belum dimuktamadkan.
Setakat ini, Rumah Putih dan pasukan peralihan Datuk Bandar yang bakal dilantik dilaporkan belum mengadakan sebarang komunikasi rasmi.
Pegawai itu tidak memperincikan program khusus yang mungkin dibatalkan sekiranya Trump meneruskan ancamannya untuk menarik balik dana daripada bandar tersebut.
Sebelum ini, Zohran menegaskan akan menghubungi Rumah Putih ketika pasukannya bersiap sedia mengambil alih pentadbiran, selain menyatakan hubungan dengan kerajaan persekutuan amat penting bagi kejayaan New York City.
“Saya di sini untuk berkhidmat demi manfaat semua penduduk bandar, dan di mana sahaja ada peluang untuk bekerjasama ke arah matlamat itu saya bersedia.
“Namun jika memudaratkan rakyat New York, saya akan menentangnya,” katanya dalam temu bual bersama NBC New York, pada Selasa.
Zohran dipilih minggu lalu sebagai Datuk Bandar New York ke-111 selepas berkempen dengan agenda progresif tegas yang merangkumi pembekuan sewa bagi lebih sejuta pangsapuri terkawal, penyediaan penjagaan kanak-kanak sejagat, pembiayaan perkhidmatan bas percuma dan pengendalian pasar raya milik bandar, satu pelan yang bakal dibiayai melalui cukai baharu terhadap syarikat serta golongan berpendapatan tinggi.
Pendekatan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan golongan perniagaan dan kewangan elit New York, termasuk ramai tokoh utama Demokrat, sehingga mencetuskan tentangan hebat.- AGENSI










