BUDI95 perkukuh ketahanan ekonomi rakyat

BUDI95 perkukuh ketahanan ekonomi rakyat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH kedai tomyam yang sering menjadi tempat saya singgah menaikkan harga jualan dengan anjakan kecil tetapi ketara.

Misalnya set ringkas untuk dua orang makan yang berupa seekor ikan siakap tiga rasa, telur dadar, tomyam campur dan dua nasi putih yang dahulunya berharga RM38, sekarang dinaikkan kepada RM43.

Alasan diberikan peniaga dari selatan Thailand itu ialah peningkatan kos. Ini kerana sebagai orang asing yang mencari rezeki di negara ini tidak lagi boleh membeli petrol dengan harga subsidi.

Alasan sama diberikan dalam satu tinjauan rambang melibatkan beberapa kedai runcit milik bukan warganegara yang menaikkan harga beberapa barang keperluan bukan kawalan antara lima hingga 10 sen.

Seorang pemuda asal Aceh yang membekalkan barangan basah kepada beberapa buah restoran memberitahu dia tidak menaikkan harga barang tetapi menaikkan sedikit caj penghantaran. Alasannya sama, terpaksa membayar petrol mengikut harga pasaran.

Di laman sosial saya terbaca hantaran seorang pemilik akaun yang menyatakan dia hanya menggunakan kira-kira 50 liter sebulan daripada kuota Budi Madani RON95 (BUDI95). Secara berseloroh atau mungkin juga serius, dia bersedia membenarkan sesiapa yang berminat menggunakan kuotanya dengan ‘fi’ yang minimum.

Di laman sosial juga saya terbaca tulisan ini, “Alhamdulillah, kami sekeluarga menjimatkan kira-kira RM50 sebulan. Cukup untuk membeli satu beg beras dan bakinya diguna untuk melunaskan bil air.”

Semua ini sebahagian kecil daripada kesan langsung selepas sebulan BUDI95 dilaksanakan. Corak peristiwa dan ragam pendapatnya sangat pelbagai, namun secara umum majoriti bersifat positif.

Saya belum pernah terjumpa walau seorang pun warga tempatan yang menafikan faedah pelaksanaan subsidi bersasar itu. Sahabat-sahabat saya dalam pasukan pembangkang pun nampaknya menerima baik inisiatif tersebut. Mereka tidak lagi merungut mengenainya.

Jelaslah tempoh lebih sebulan selepas pelaksanaannya, BUDI95 membuka cukup ruang untuk menilai langsungnya secara lebih mendalam terhadap pelbagai aspek, daripada penerimaan rakyat, ekonomi isi rumah, reaksi pasaran serta implikasi fiskal kepada kerajaan.

Dalam tempoh yang singkat ini juga, beberapa trend struktural mula dapat dikesan, sekali gus memberi gambaran tentang arah jangka panjang dasar subsidi Malaysia dalam ekosistem ekonomi baharu.

Sebagai dasar yang mempunyai kepentingan sosial yang besar, penilaian awal ini penting bagi menentukan tahap keberkesanan, kekuatan instrumen pentadbiran dan ruang penambahbaikan yang wajar diberi perhatian.

Dari sudut penerimaan rakyat, respons umum sepanjang sebulan pelaksanaan memperlihatkan corak penerimaan yang beransur matang.

Pada fasa awal, memang wujud kebingungan mengenai keperluan pendaftaran, syarat kelayakan dan mekanisme verifikasi sehingga mendorong perbahasan di sana-sini. Tetapi ia bukanlah pelik kerana dalam mana-mana pelaksanaan dasar baharu, apatah lagi yang melibatkan data peribadi, teknologi digital dan perubahan tabiat harian, bingung serta bimbang memang jarang dapat dipisahkan.

Namun selepas sebulan pertama, majoriti pengguna mula menunjukkan tahap adaptasi yang tinggi. Golongan B40 luar bandar, contohnya, yang pada awalnya dikhuatiri akan terkebelakang dari segi celik digital, membuktikan mereka adalah antara yang paling cepat menyesuaikan diri.

Faedah langsung BUDI95 kepada isi rumah jelas dapat dilihat daripada laporan-laporan media. Angka umum menunjukkan inisiatif itu membolehkan perbelanjaan isi rumah dijimatkan antara RM50 hingga RM120 sebulan khususnya dalam kalangan penerima B40.

Angka itu bukanlah kecil kerana dalam konteks ekonomi runcit, jumlah penjimatan ini membolehkan isi rumah mengurus pembelian barangan asas secara lebih stabil dan mengimbangi kenaikan harga barangan tertentu. Yang lebih penting ia membantu mengelakkan tekanan kewangan jangka pendek, sesuatu yang sangat dekat dengan rakyat berpendapatan rendah.

Lebih menarik ialah data bulan pertama menunjukkan pola penggunaan yang jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan kerajaan. Purata penggunaan 98 liter sebulan iaitu bersamaan sekitar 33 peratus daripada had subsidi 300 liter, menunjukkan tingkah laku mobiliti rakyat tidak mengalami peningkatan mendadak walaupun subsidi diberi melalui mekanisme individu.

Anggaran kasar menunjukkan jika majoriti rakyat tidak menggunakan kuota maksimum, kerajaan dapat menjimatkan ratusan juta ringgit dalam tempoh beberapa bulan pertama sahaja. Penjimatan ini boleh diagih semula ke sektor kritikal seperti pendidikan, sistem kesihatan awam dan pembangunan infrastruktur asas yang memberi kesan jangka panjang kepada produktiviti negara.

Selain itu, keberkesanan kawalan fiskal ini juga meningkatkan kredibiliti kerajaan dalam kalangan pelabur kerana ia menunjukkan negara mengambil langkah konsisten mengurangkan beban subsidi tanpa mengabaikan golongan rentan.

Walaupun demikian, kita perlu mengaku di sebalik prestasi awal yang menunjukkan perkembangan positif, terdapat beberapa kelemahan yang turut dikenal pasti.

Contohnya terdapat rungutan daripada segmen pengguna aktif, terutama dalam kalangan M40 pertengahan, yang tidak berpuas hati kerana kuota 300 liter itu dilihat sebagai tidak mencukupi bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh.

Reaksi ini menunjukkan terdapat keperluan untuk meletakkan garis kelayakan yang lebih dinamik pada masa depan, termasuk keupayaan melakukan semakan silang berasaskan konteks pekerjaan, tanggungan dan kos hidup setempat.

Rungutan juga datang daripada golongan pemandu e-hailing, terutama pemandu sepenuh masa. Kuota itu terlalu kecil. Kerajaan memberi reaksi pantas dengan menaikkan had kuota kepada 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, berkuat kuasa November.

Ia memberikan kelegaan. Walaupun masih ada yang bersuara dengan berkata pemandu e-hailing sepenuh masa memerlukan sekitar 1,200 liter petrol sebulan untuk menampung jarak perjalanan kerja, namun tindakan pantas menaikkan kuota membawa maksud tersirat yang cukup penting bahawa kerajaan sentiasa bersedia mendengar suara akar umbi dan menyesuaikan dasar subsidi agar lebih relevan dengan situasi.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah reaksi balas kalangan peniaga asing dan kelompok perniagaan yang tidak layak menerima subsidi, di mana terdapat kecenderungan menaikkan harga barangan, makanan dan perkhidmatan dengan alasan terpaksa membayar petrol mengikut harga pasaran.

MANIPULASI
Walaupun dalam ekonomi terbuka tindakan ini dianggap sebahagian daripada mekanisme pasaran, risiko manipulasi harga tetap wujud. Kenaikan harga barangan berkait rapat dengan kenaikan harga petrol dan diesel, walaupun ironinya penurunan harga kedua-dua bahan api itu jarang berjaya menurunkan harga barangan yang sama.

Dalam konteks ini, penguatkuasaan harga munasabah melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu diperkukuh, sementara kerajaan wajar melaksanakan kajian kos operasi sebenar peniaga mikro tempatan bagi menolak dakwaan kenaikan harga yang tidak berasas.

Untuk peniaga tempatan yang sah tetapi benar-benar terkesan, pendekatan alternatif seperti rebat utiliti, insentif logistik atau skim pemodenan operasi boleh membantu mengelakkan beban kos disalurkan secara tidak adil kepada pengguna. Bagi peniaga asing tidak berlesen, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas bukan sahaja isu ekonomi tetapi juga isu kedaulatan peraturan.

Apa juga natijahnya, jika dilihat secara menyeluruh, kesan ketara ialah rakyat terbanyak mula merasai kehadiran inisiatif itu sebagai manifestasi nilai-nilai madani yang memberi penekanan kepada keadilan sosial, kecekapan pentadbiran dan keprihatinan terhadap kelompok memerlukan.

Sememangnya itulah juga hasrat kerajaan semasa melaksanakan inisiatif tersebut. Tidak dapat disangkal dasar ini mula berjaya memperbaiki struktur pengagihan negara serta mengurangkan kebergantungan kepada subsidi menyeluruh yang selama ini lebih banyak memanfaatkan pengguna berat daripada kelompok kaya berbanding rakyat biasa.-UTUSAN

DATUK Dr. Budiman Zohdi ialah Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×