PARLIMEN: Graduan tidak mencukupi punca petugas kesihatan kurang

PARLIMEN: Graduan tidak mencukupi punca petugas kesihatan kurang

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekurangan petugas kesihatan yang masih berlaku di negara ini berpunca daripada kekangan pengambilan baharu susulan jumlah graduan dalam bidang kritikal tidak mencukupi bagi menampung keperluan semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan kesukaran melaksanakan urusan pengambilan baharu berikutan kekurangan keluaran graduan dalam bidang tertentu seperti kejururawatan dan perubatan yang amat diperlukan di fasiliti kesihatan seluruh negara.

“Kekurangan petugas kesihatan juga berlaku berikutan kekangan dihadapi KKM dalam melaksanakan urusan pengambilan disebabkan kekurangan keluaran graduan dalam bidang tertentu berdasarkan keperluan yang diunjurkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai contoh, keluaran pelatih dari Institut Latihan KKM (ILKKM) serta graduan kejururawatan di peringkat diploma dari institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara masih belum mencukupi bagi menampung permintaan sebenar,” katanya ketika sesi soal jawab lisa di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai jumlah hospital dan klinik di negeri Kedah yang mengalami kekurangan doktor pakar serta jururawat bagi 2025, selain langkah segera yang diambil KKM bagi memastikan penempatan sumber manusia kesihatan kekal di hospital daerah luar bandar.

Menurut Dzulkefly, setakat 31 Ogos 2025, seramai 19,324 petugas kesihatan berkhidmat di negeri Kedah meliputi 565 pakar perubatan, 2,538 pegawai perubatan, 4,883 jururawat dan 11,388 petugas dalam skim perkhidmatan lain.

Namun katanya, analisis KKM menunjukkan terdapat tiga hospital dan dua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di Kedah masih belum mencapai kadar pengisian pakar perubatan yang optimum.

“Bagi kategori jururawat pula, empat hospital dan tiga PKD dikenal pasti masih berada di bawah kadar pengisian optimum melibatkan fasiliti di bawah seliaan PKD seperti klinik kesihatan dan klinik komuniti,” katanya.

Beliau berkata, KKM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik minat lebih ramai pelajar menceburi bidang kesihatan di peringkat pengajian tinggi selain memastikan proses pengambilan dan penempatan petugas baharu dapat dijalankan secara berperingkat.

“KKM juga sedang meneliti mekanisme penambahbaikan dalam perancangan tenaga kerja kesihatan supaya ia lebih seimbang mengikut keperluan sebenar fasiliti di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini