Penangan sindrom thin-line - Utusan Malaysia

Penangan sindrom thin-line

Ada dalam kalangan golongan antivaksin merupakan cerdik pandai atau pakar yang sepatutnya sama-sama bertanggungjawab menangani wabak Covid-19 bersama kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bila sesuatu arena kemakmuran itu bergelora, pastinya ada badai melanda. Atau ada pihak yang menjadi badai, mencetus ombak melanda sesuatu arena itu.

Yang anehnya, kebanyakan badai pencetus ombak-ombak ini bukan badai dalam kalangan kuasa luar. Ia dari sumber dalaman atau sumber di sekeliling sesuatu watak dalam arena itu. Badai ini bermain kononnya atas sentimen tanggungjawab, realitinya mereka adalah oportunis. Sentimen yang dimainkan sukar dibaca jika bersandarkan hanya kepada apa yang tersurat. Permainan sentimen inilah yang mencetuskan sindrom thin-line.

Mereka yang saya klasifikasikan sebagai pembadai ini adalah dalam kalangan yang bertanggungjawab, pandai bermain dengan sentimen dan membina persepsi sehinggakan sering kali diterima oleh pihak massa. Antara strategi mereka ialah menzahirkan atau mengklasifikasikan sesuatu yang sepatutnya berstatus truth menjadi half-truth, lantas terbinalah krisis keyakinan.

Saya paparkan senario semasa dalam kalangan mereka yang alami sindrom thin-line dalam tiga arena kemakmuran berbeza.

Senario pertama, ramai mengetahuinya iaitu arena politik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam komuniti politik yang dikelilingi mereka yang bertanggungjawab kepada rakyat. Realitinya, ramai dalam kalangan mereka ini adalah pembadai. Nampak seperti bersama Muhyiddin tetapi dalam sekelip mata menjadi seteru pula. Dalam 16 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerajui kepimpinan negara, kita dapat lihat bagaimana Muhyiddin alami sindrom thin-line yang menyebabkan kerajaan pimpinannya terumbang-ambing.

Wallahuaklam, sampai bila beliau mampu bertahan.

Akan tetapi dalam kes Muhyiddin, beliau tidak keseorangan bergelut dengan sindrom ini. Yang beliau tidak tahu ialah bila mereka itu ada bersamanya melawan badai dan bila pula mereka ini akan membadainya kerana itulah realitinya apabila alami sindrom ini.

Senario kedua di mana permainan sentimen menukar elemen tanggungjawab menjadi peluang dan truth menjadi half-truth ialah arena kesihatan iaitu dalam usaha kita semua menangani wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga seperti Muyhiddin, alami sindrom ini. Golongan antivaksin misalnya, bukan dalam kalangan orang biasa yang tak tahu hujung pangkal mengenai Covid-19 dan keperluan untuk rakyat lakukan vaksinasi. Pembadai dalam kalangan blok antivaksin adalah cerdik pandai atau pakar yang sepatutnya sama-sama bertanggungjawab tangani wabak ini. Tapi mereka memilih menjadi golongan oportunis untuk membadai. Tak tahulah apa manfaatnya mereka berbuat demikian. Penyudahnya, rakyat jadi keliru kerana truth mengenai vaksinasi sudah ditanggapi oleh ramai dalam kalangan kita sebagai half-truth, lantas ramai yang menentangnya atau paling tidak meragui usaha kerajaan untuk memvaksin kesemua rakyat. Tidak kurang juga ramainya pembadai ini yang meragui proses pembelian itu. Itulah realitinya bila mereka yang bertanggungjawab dalam sekelip mata menjadi pembadai.

Dalam pada itu, apabila kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk laksanakan darurat kesihatan selama lapan bulan bagi permudahkan usaha tangani wabak, ada pula mereka dalam kategori yang bertanggungjawab memilih untuk menjadi barisan hadapan antidarurat. Dek gangguan puak-puak antidarurat ini, usaha diterajui Noor Hisham menangani wabak menjadi makin celaru. Kesannya ialah keluk wabak semakin menegak dan sukar untuk dilandaikan.

Pun begitu, beliau bernasib baik sebab kerajaan bersamanya. Seperti Muhyiddin, Noor Hisham tidak bersendirian.

Senario ketiga ialah arena ekonomi khususnya dunia korporat.

Saya ambil satu contoh. Datuk Dr. Karim Abdullah dengan flagship, Serba Dinamik Berhad adalah juga mangsa kerja-kerja pembadai yang bermain dengan sentimen kononnya atas nama tanggungjawab tetapi realitinya mereka bertindak sebagai golongan oportunis. Seperti juga Muhyiddin dan Noor Hisham, Karim alami sindrom ini kerana pihak-pihak di sekelilingnya yang bermain dengan sentimen ini dan mempengaruhi massa untuk turut sama menghukumnya.

Serba Dinamik adalah entiti syarikat tersenarai. Entiti bisnes dalam kelompok ini amat terdedah kepada spekulasi. Spekulasi amat mudah dibina, lebih-lebih lagi bila pihak-pihak bertanggungjawab berperanan sebagai barisan hadapan memilih untuk menjadi pembadai oportunis, bermain dengan fakta-fakta yang mereka klasifikasikan sebagai half truth.

Secara kebetulan, kebanyakan pihak bertanggungjawab ini dari kelompok pemikiran dan strategi yang sama. Hibanya, Karim tidak dipertahankan oleh pihak yang berani bertanggungjawab yang mampu mengimbangi persepsi dibina oleh pembadai ini.

Inilah realiti kini yang dihadapi oleh mereka yang alami sindrom thin-line, baik Muhyiddin dalam arena politik, Noor Hisham dalam arena kesihatan mahupun Karim dalam arena ekonomi.

Terkilannya saya ialah para pembadai ini tidak menghiraukan implikasi di peringkat makro hasil daripada tindak-tanduk mereka itu.

Dalam kes Muhyiddin, mereka tidak menghiraukan padahnya bila politik terus bergolak tatkala negra berdepan begitu banyak kegawatan. Apa yang pembadai dapat hanyalah keseronokan melihat Muhyiddin terkapai-kapai.

Dalam kes Noor Hisham, padahnya kita kini menjadi antara negara di dunia yang paling teruk dalam menangani Covid-19 walhal beberapa bulan lepas, kita dianggap antara negara terbaik di dunia dalam menangani wabak.

Dalam kes Karim, apa yang terjadi kepadanya mampu menguncupkan saiz pasaran modal negara yang sememangnya kecil dan semakin kurang menarik minat di mata pengurus dana global. Para pembadai ini tahu implikasi tindak-tanduk mereka yang bukan sekadar menguncupkan saiz pasaran modal negara, malah ia ada kesan langsung terhadap kecairan modal negara.

Apa pun, Muhyiddin dan Noor Hisham tidak bersendirian berdepan sindrom ini. Ia berbeza bagi Karim yang terpaksa mengharunginya bersendirian, kecuali kerajaan tampil meredakan keadaan.

Datuk Dr. Hasan Mad ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×