KUBANG PASU: Belum pun memperoleh skrol ijazah, seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah mencipta kejayaan luar biasa apabila meraih pendapatan mencecah RM10,000 sebulan hasil usaha dalam bidang keusahawanan.
Graduan berkenaan, Muhammad Rahman Adabi, 23, menjadi antara 13 graduan UUM yang merekodkan pendapatan melebihi RM10,000 sebulan walaupun belum menamatkan sepenuhnya urusan konvokesyen.
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, kejayaan itu mencerminkan keupayaan universiti itu melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut memiliki daya tahan dan semangat keusahawanan yang tinggi.
Katanya, seramai 93 peratus graduan mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) sebelum mengambil jubah pada 5 November ini dan daripada jumlah itu, 918 orang atau 15 peratus memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan.
“Bagi graduan ijazah sarjana muda sahaja, seramai 519 orang atau 10 peratus berpendapatan lebih RM4,000 sebulan dan 13 daripada mereka sudah pun meraih lebih RM10,000 sebulan,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM, di sini semalam.
Mohd. Foad berkata, UUM mencatat kadar kebolehpasaran graduan (GE) membanggakan iaitu 96.6 peratus bagi tahun lalu, meningkat daripada 95 peratus tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan keberkesanan program pembangunan pelajar universiti itu.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah kepada 92 graduan.
Titah baginda, IPT termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM) sepatutnya menjadi tempat menimba ilmu dan bukannya medan untuk menabur fitnah.
“Andai ilmu dijadikan alat untuk berpolitik dan fitnah, ia akan memusnahkan kepercayaan rakyat dan merencatkan masa depan generasi akan datang. Beta menyeru agar semua pihak bersatu memastikan IPT di Malaysia berintegriti dan berpaksikan kebenaran. Universiti harus menjadi jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin turut melahirkan rasa bangga terhadap kemajuan pesat UUM yang gah di persada antarabangsa, apabila berjaya menduduki tangga ke-491 universiti terbaik dunia serta menyerlah dalam bidang pendidikan berkualiti.
Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Tan Sri Azman Mokhtar, 64, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan kewangan Islam.
Sementara itu, majlis konvokesyen itu turut menyaksikan kisah menyentuh hati apabila graduan Nor Shamira Irwani Farid, 24, yang menghidap kanser darah tahap empat, menerima Anugerah Emas Naib Canselor sambil menitis air mata kegembiraan.
“Saya sudah jalani dua pusingan kimoterapi yang kuat dan tak sangka dapat hadir. Syukur doktor izinkan kerana rawatan menunjukkan kesan positif,” katanya yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial.
Sementara itu, Anugerah Pelajaran DiRaja dikurniakan kepada Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin, 23, dan P. Vianca Syam, 24, manakala Anugerah Pingat Emas Canselor disampaikan kepada Wong Yoong Wai, 24.
Sementara itu, Sultan Kedahbertitah agar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini tidak dijadikan medan berpolitik demi memastikan masa depan generasi akan datang terpelihara. – UTUSAN










