Chelsea, Maresca tutup mulut pengkritik

Chelsea, Maresca tutup mulut pengkritik

Pemain tengah Chelsea, Pedro Neto (kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Wolves di Stamford Bridge, London, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kemenangan Chelsea ke atas Wolves sedikit sebanyak meredakan tekanan terhadap dasar penggiliran diterapkan yang dikritik terutama ketika seri 2-2 dengan kelab kerdil Azerbaijan, Qarabag pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam, Malo Gusto meledak gol sulung buat The Blues ketika membenam Wolves 3-0 di Stadium Stamford Bridge.

Bekas bintang Manchester United, Wayne Rooney sebelum ini menggesa pemain senior Chelsea mempertikaikan pemilihan Maresca selepas pengurus Itali itu membuat tujuh pertukaran ketika seri dengan Qarabag.

Selepas mempertahankan diri daripada sindiran Rooney dengan menegaskan tuntutan fizikal terhadap pemain kini lebih berat berbanding dahulu, Maresca membuat lapan pertukaran ketika berdepan Wolves.

Keputusan itu menyaksikan Maresca telah melakukan rombakan dalam enam perlawanan berturut-turut dengan jumlah pertukaran lebih daripada enam pemain.

Percaturan berani itu membuahkan hasil dengan persembahan mantap babak kedua yang melonjakkan Chelsea ke tangga kedua EPL.

“Ia cuma bunyi bising dari luar. Di dalam pasukan, kami yakin bahawa sebagai kelab dan pasukan, kami sedang bergerak ke arah yang betul dan melakukan perkara yang baik.

“Kami bermain dengan baik. Saya fikir satu-satunya perbezaan antara separuh masa pertama dan kedua ialah kami menjaringkan gol pada babak kedua, sesuatu yang kami gagal lakukan sebelum rehat,” kata Maresca.

Pada aksi itu, pertahanan Perancis, Gusto yang tiba dari Lyon pada tahun 2023 meletakkan Chelsea di depan selepas rehat menerusi gol pertamanya.

Joao Pedro menggandakan kelebihan sebelum Pedro Neto menambah gol ketiga untuk menoktahkan kemenangan keempat The Blues dalam lima perlawanan liga terakhir, sekali gus merapatkan jurang kepada enam mata di belakang pendahulu Arsenal. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN